Khamis, 20 Februari 2014

Lagi laporan tidak berasas mengenai Taib dan UMNO

Sarawak Channel agak terkilan dengan beberapa isu berkaitan perletakan jawatan Ketua Menteri Sarawak, Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.

Àntaranya, laporan-laporan media luar yang berbentuk provokasi seolah-olah mereka cemburu dan kurang senang melihat kejayaan dan kemakmuran yang telah dicapai oleh negeri Sarawak di bawah kepimpinan YAB Pehin Sri.

Kali ini sekali lagi isu berkaitan kemasukan "UMNO ke Sarawak" sedangkan sudah jelas pada lawatan YB Timbalan Perdanan Menteri ke Sarawak minggu lalu bahawa Parti Semenanjung itu tidak akan melebarkan sayapnya di Sarawak.

Persoalannya mengapa masih ada pengamal media di semenanjung sengaja mengeluarkan isu ini lagi malah penganalisaan yang dibuat terlalu jauh terpesong, berbentuk tuduhan tanpa asas, fitnah dan lebih kepada menyentuh hal-hal peribadi YAB Pehin Sri, dalam Parti PBB dan masyarakat Sarawak khususnya.

Berita selanjutnya :

....................................................................................

PETALING JAYA: Sebaik-baik sahaja Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Taib Mahmud mengumumkan akan bersara pada 28 Februari ini (8 hari dari sekarang) selepas mempengerusikan mesyuarat BN Sarawak, beliau berkata jangan beri parti rasis, Umno bertapak di negeri bumi Kenyalang itu.

Kenapa Taib begitu marah kepada Umno? Adakah beliau marah kerana Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Tun Razak yang buat pengumuman dalam PRU negeri pada tahun 2011 Taib akan berundur dalam masa dua tahun.

Kenyataan Taib mendakwa Umno parti rasis mengejutkan blogger veteran, Datuk Kadir Jasin yang mendakwa pemimpin-pemimpin Umno berdiam diri tidak menjawab tuduhan itu. Hanya pemimpin kecil seperti Syed Rosli Syed Harman al Jamalulail yang tewas dalam pertandingan Ketua Pemuda pada tahun 2013 menjawab bahawa Umno sekarang liberal dan bukan rasis.

Dalam lawatannya ke Sarawak selepas nama Tan Sri Adnan Satem diumumkan sebagai pengganti Taib, Timbalan Pengerusi BN, Tan Sri Muhyiddin Yasin sudah beri jaminan kepada rakyat Sarawak bahawa Umno tidak ada niat untuk mengembangkan sayap ke negeri itu.

Umno tidak ada sebab untuk masuk Sarawak selagi Parti Bumiputera Bersatu (PBB) yang diketuai Taib masih berfungsi seperti Umno. Bezanya Umno dianggotai oleh orang Melayu tetapi PBB dianggotai oleh Bumiputera Islam dan bukan Islam (Iban). Tetapi selepas Umno masuk Sabah, Bumiptera bukan Islam pun boleh menyertai Umno.

Pengembangan sayap Umno ke Sabah adalah kerana terdesak apabila Parti Bersatu Sabah (PBS) keluar dari BN menjelang PRU pada tahun 1990. Umno tidak ada pilihan terpaksa menyertai Sabah setelah parti pemerintah PBS keluar dari BN. Jika PBS tak keluar dari BN, mungkin sampai sekarang Umno tidak berada di Sabah. Mungkin Tan Sri Joseph Pairin Kitingan masih lagi menjadi Ketua Menteri Sabah sekarang.

Ketika itu rakyat Sabah tidak dapat menerima Usno pimpinan Tun Datu Mustapha Datu Harun. Maka Umno kena masuk melalui Usno dan akhirnya Usno dibubarkan dan Datu Mustapha dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah di bawah Tun Ghafar Baba.

Begitulah sejarah penubuhan Umno di Sabah pada tahun 1991. Bukannya Umno terhegeh-hegeh nak masuk ke Sabah tetapi keadaan memaksa parti dari Semenanjung itu berada di Sabah,

Pada pilihanraya negeri Sabah 1994, PBS masih menang dan Umno kalah tetapi apabila dua ADUN PBS melompat ke dalam Umno (Datuk Lajim Haji Okin dan Datuk Rubin Balang), maka tumbanglah kerajaan PBS pimpinan Pairin.

Kerajaan BN Sabah terbentuk dengan Tun Sakaran Dandai dilantik Ketua Menteri Umno Sabah yang pertama. Sudah 20 tahun Umno berkuasa di Sabah walaupun Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman dianggap sebagai proxy Najib.

Berbanding Sarawak, Taib Mahmud lebih bebas mengendalikan negeri itu tanpa memerlukan persetujuan Najib. Beliau memakai kereta Rolls Royce sama dengan kereta Yang Dipertuan Negeri. Tetapi Musa Aman tidak boleh buat sesuka hati. Beliau kena ikut peraturan Kuala Lumpur yang mahu Ketua Menteri menggunakan kereta Perdana. Beliau kena rujuk apa juga keputusan kepada Najib.

Ini yang orang lihat kelebihan Sarawak daripada Sabah sedangkan status Sabah sama dengan Semenanjung. Sabah bukannya setaraf dengan Perlis atau Selangor atau Johor.

Ada orang melihat ketiadaan Taib Mahmud memudahkan Umno masuk ke Sarawak. Bagi saya Umno tak perlu masuk ke Sarawak. Taib Mahmud seorang Melanau sudah menunjukkan kehebatannya dapat mengawal orang Iban dan orang China dalam politik Sarawak. Sedangkan orang Melanau adalah golongan minoriti.

Sepatutnya orang Iban yang majoriti penduduk Sarawak yang jadi Ketua Menteri Sarawak (Kalong Ningkan dari suku kaum Iban pernah jadi Ketua Menteri) tetapi orang Melanau yang mengawal politik Sarawak. Itulah kehebatan Taib sehingga berjaya “pecah dan perintah” parti-parti suku kaum Iban dan Cina sehingga beliau berkuasa selama 33 tahun.Itulah kecerdikan Taib yang mungkin tidak dapat diatasi oleh Adnan Satem.

Umno tak perlu ke Sarawak selagi PBB kuat. Kalau benarlah Umno gila kuasa nak masuk Sarawak, pada tahun 1970 Umno sudah boleh berbuat demikian kerana Tun Rahman Yaacub yang menjadi Ketua Menteri Sarawak yang ketiga (bapa saudara Taib) pernah menyertai Umno di Kuala Lumpur. Tetapi pemimpin Kuala Lumpur tidak gila kuasa mahu bawa Umno ke Sarawak.

Umno memang tidak akan mengambil tempat PBB di Sarawak kerana Umno terhutang budi kepada Taib Mahmud yang menyelamatkan harta Umno pada tahun 1988 apabila Umno lama diisytiharkan haram oleh mahkamah.

Taib salah seorang orang terkaya di dunia membeli harta-harta Umno dan apabila Umno (baru) pulih semula, Taib menyerahkan semula harta-harta itu kepada Umno. Jasa Taib kepada Umno begitu besar. Sebab itu apabila pelbagai laporan rasuah Taib dibuat, SPRM tidak dapat buat apa-apa kerana Najib masih mengenang jasa Taib menyelamatkan Umno.

Melainkan jika PBB kalah dalam PRU negeri pada tahun 2016, barulah Umno dapat bertapak di Sarawak. Itu pun sudah terlambat bagi Umno untuk berada di negeri itu di saat-saat BN di Semenanjung pun sedang nazak.

Umno bergantung kuat kepada parti-parti komponen BN di Sabah dan Sarawak. Tanpa mereka, sudah lama BN kalah di negara ini. Jadi memang tepat visi Bapa Malaysia, Tunku Abdul Rahman membawa masuk Sabah dan Sarawak ke dalam Malaysia kerana ternyata parti-parti komponen BN Sabah dan Sarawak yang menyelamatkan kerajaan BN di negara kita.

FMT

Tiada ulasan: