Khamis, 20 Februari 2014

WAJIB BACA! Rencana Sarawak tenang – Dr Azmul Fahimi Kamaruzaman

Kewafatan Rasulullah menyaksikan Baginda tidak menamakan penggantinya. Pelantikan Saidina Abu Bakar sebagai Khalifah Islam pertama melalui proses syura dan baiah yang dipersetujui majoriti penduduk Madinah. Selepas memerintah dua tahun setengah, Abu Bakar sakit.
Al-Tabari mencatatkan menjelang kematiannya, Abu Bakar memanggil Uthman Affan ke rumah untuk menulis surat perisytiharan pelantikan khalifah yang baharu. Dari tempat pembaringan, Abu Bakar menetapkan Umar sebagai Khalifah Islam kedua. Uthman dengan patuh menulis surat perisytiharan yang kemudian dibacakan Ali Abi Talib di khalayak bagi mendapatkan baiah umat Islam.
Sejarah mencatatkan Umar tidak menamakan penggantinya selepas beliau tenat ditikam Abu Lu’ Lu’ah. Pemilihan khalifah baharu terpaksa dibawa ke pengetahuan majlis syura. Uthman juga mengikut jejak Umar dengan tidak sempat menamakan pengganti selepas maut di tangan kumpulan pemberontak dalam peristiwa pengepungan kediamannya di Madinah. Kematian Uthman menyebabkan majlis syura terpaksa bersidang sekali lagi bagi melantik khalifah keempat. Umum mengetahui Ali dilantik, tetapi landskap politik dunia Islam yang sedia panas terus menggelegak lantaran ada pihak tidak berpuas hati dengan polisi pemerintahan Ali.
Sistem peralihan kuasa
Episod sejarah ini memberi gambaran peralihan kuasa dalam kalangan Khulafa al-Rashidin. Mereka ialah sahabat kanan Rasulullah. Bahkan Baginda pernah bersabda: “Maka hendaklah kamu berpegang kepada sunahku dan sunah Khulafa al-Rashidin Mahdiyyin yang perlu kamu genggam dengan gigi geraham kamu.” (Hadis riwayat Tirmizi)
Pemilihan Tan Sri Adenan Satem oleh Tan Sri Abdul Taib Mahmud sebagai ketua menteri Sarawak baharu dikira menepati sunah diamalkan Abu Bakar. Taib mungkin melakukan syura dengan pemimpin partinya (Parti Pesaka Bumiputera Bersatu – PBB) bagi mendapatkan senarai pendek calon. Kita sedia maklum bahawa Datuk Amar Abang Johari Openg dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan serta Adenan sendiri ialah senarai pilihan pada peringkat PBB dan Barisan Nasional (BN) Sarawak.
Namun, Taib lebih arif dan yakin dengan kemampuan Adenan untuk terus mengemudi Sarawak, seterusnya menjamin kestabilan politik serta ekonomi negeri. Pilihan ini pasti sukar kerana Abang Johari dan Awang Tengah ialah calon yang baik. Abang Johari sebagai timbalan presiden PBB berada dalam kedudukan strategik parti untuk menggantikan Taib. Manakala Awang Tengah pula ialah menteri kanan dalam Kabinet Taib.
Sokong kepemimpinan Adenan
Melihat keadaan ini, kita berasakan mereka perlu memainkan peranan penting menyokong kepemimpinan Adenan, mengikuti jejak Uthman dan Ali yang mendokong kekhalifahan hebat Umar selama 10 tahun. Bahkan kedua-duanya kemudian menyambung legasi pemerintahan Umar sebagai khalifah ketiga dan keempat.
Berbeza dengan Sarawak, peralihan kuasa di Selangor bermula agak kalut dalam kalangan pakatan pembangkang. Keputusan Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang, Lee Chin Cheh meletak jawatan menimbulkan tanda tanya. Pengumuman Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bahawa Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding di Kajang pula mencetuskan teka-teki kemungkinan Khalid digantikan.
Logiknya, jika menang di Kajang, tidak mungkin Anwar mahu berketuakan Khalid. Ironinya mereka menafikan kemungkinan Khalid letak jawatan dan Anwar dicadangkan sebagai menteri besar baharu. Dewan Ulama PAS dan PAS Selangor paling lantang mengkritik ‘Serampang Kajang’ PKR, manakala DAP pula seolah-olah terkejut dengan langkah Anwar. Apa pun Anwar kelihatan mahu menumpukan sepenuhnya pilihan raya kecil DUN Kajang Mac ini daripada mempolemikkan isu siapa menteri besar.
Namun, jalan ditempuh Anwar masih berliku. Ahli Parlimen Permatang Pauh itu masih punyai ‘halangan’ demokrasi dan raja berperlembagaan sebelum menjawat menteri besar di negeri paling kaya itu.
Namun nun di Kuching, Adenan sudah boleh merangka pelan pembangunan dan visinya untuk rakyat Sarawak menjelang angkat sumpah Mac ini. Likunya juga besar kerana kepelbagaian politik Sarawak menuntut kebijaksanaan Adenan menguruskannya. – bharian.com.my, 20 Februari, 2014.

Tiada ulasan: