Jumaat, 7 Februari 2014

Wan Junaidi akan tunggu dan lihat

KUCHING: Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar mengambil pendekatan tunggu dan lihat berhubung isu spekulasi persaraan Pehin Sri Abdul Taib Mahmud sebagai Ketua Menteri Sarawak dan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).
Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar
Beliau berkata, spekulasi tersebut hanya akan terjawab selepas satu mesyuarat khas untuk Majlis Tertinggi PBB yang bakal dipengerusikan Taib pada Sabtu ini.

“Saya tidak mahu komen (mengenai laporan persaraan Taib). Kita tunggu dua hari lagi (untuk mesyuarat khas Majlis Kerja Tertinggi PBB diadakan),” tegasnya ringkas kepada pemberita semalam.

Ahli Parlimen Santubong itu ditemui selepas mempengerusikan sidang media berhubung Penguatkuasaan Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959 (Pindaan dan Pemerluasan 2014) di sini.

Majlis Kerja Tertinggi (MKT) PBB dijadual bermesyuarat pada 8 Februari ini, manakala pada 9 Februari, mesyuarat membabitkan Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli-Ahli Parlimen dari Sarawak pula diadakan.

Kedua-dua mesyuarat itu akan dipengerusikan Taib dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi PBB Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah baru-baru ini menyifatkan mesyuarat-mesyuarat berkenaan sebagai penting.

Mesyuarat-mesyuarat itu antara lain, katanya, akan membincangkan isu-isu semasa seperti kalimah ‘Allah’ serta hubungan kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan.

Mengenai persaraan Taib, beliau berkata, tarikh dan masa yang sesuai untuk bersara hanya diketahui Ketua Menteri sendiri.

Timbalan Presiden PBB Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg sebelum ini turut mengesahkan satu mesyuarat khas untuk MKT parti itu akan diadakan Sabtu ini, namun tetap berdiam diri apabila ditanya sama ada mesyuarat itu akan dijadikan landasan bagi Taib mengumumkan persaraannya atau tidak.

Beliau juga enggan mengulas spekulasi beliau antara pemimpin parti yang mungkin akan menggantikan Taib.

Menurut sebuah laporan yang memetik sumber yang tidak diketahui, Taib yang kini berusia 78 tahun dan telah menjadi Ketua Menteri semenjak 1981 akan mengadakan pertemuan dengan semua wakil rakyat Barisan Nasional (BN) pada 9 Februari ini.

Selain Abang Johari, nama lain dikatakan mungkin pengganti Taib ialah Menteri Tugas-Tugas Khas Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem dan Menteri Perancangan Sumber Kedua dan Alam Sekitar Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Bekas menteri kabinet persekutuan Datuk Seri Effendi Norwawi biarpun agak tenggelam semenjak beberapa tahun lalu, turut menjadi sebutan.


Read more: http://www.theborneopost.com/2014/02/07/wan-junaidi-akan-tunggu-dan-lihat/#ixzz2sb2WGvNh

Tiada ulasan: