Selasa, 4 Februari 2014

Wong enggan penuhi permintaan Teng pindah tiga lot kedai kepada SUPP

SIBU: Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Sibu Dato Sri Wong Soon Koh menegaskan bahawa beliau tidak akan memenuhi permintaan Bendahari SUPP Datuk David Teng atas permintaan memindahkan tiga lot kedai kepada parti dalam masa 20 hari.


Bercakap pada sidang media di sini semalam, Wong berkata alasan beliau tidak memberi jawapan kepada permintaan Teng itu kerana harta itu (tiga lot kedai) dimiliki oleh sebuah syarikat iaitu Twinswood Sdn Bhd dan bukan milik parti.

“Pada 13 Januari lalu, saya menerima surat bertarikh 5 Januari daripada Datuk David Teng meminta saya memindahkan harta itu kepada SUPP Pusat.

“Harta itu sebenarnya dimiliki oleh 50 pemegang saham individu di bawah syarikat Twinswood Sdn Bhd.

“Perkara pertama yang saya lakukan ialah berunding dengan Tan Sri Dr Wong Soon Kai (bekas Pengerusi Cawangan Sibu dan Presiden SUPP) sebagaimana beliau menyerahkan harta itu kepada saya pada 1996 apabila beliau bersara daripada politik,” katanya.

Wong yang juga Menteri Kewangan Kedua kemudian menjawab dengan berkata bahawa para pemegang saham syarikat hendaklah bertemu untuk berbincang bagi memutuskan bagaimana untuk menyelesaikan perkara itu.

Beliau menjelaskan, tiga lot kedai itu dijadikan sebagai Ibu Pejabat SUPP Cawangan Sibu yang digunakan sejak 1989 dan  dimiliki Twinswood Sdn Bhd dan tiada kaitan dengan hak atau harta SUPP.

Isu itu bermula apabila bekas Pengerusi Jawatankuasa Tabung Bangunan SUPP Cawangan Sibu Wong Chih Yong menghantar surat kepada Teng pada 31 Disember tahun lalu bagi menuntut balik bangunan itu (Ibu Pejabat SUPP Cawangan Sibu) yang kini bernilai RM4 juta.

Yong melalui suratnya menyatakan bangunan itu dibeli menerusi wang derma daripada ahli-ahli SUPP.

Beliau berkata, bangunan itu merupakan harta milik SUPP.

Jelasnya, ia telah didaftarkan di bawah nama Twinswood Sdn Bhd sebagai langkah sementara pada akhir 1980-an bagi mengukuhkan kedudukan kewangan parti.

Menurut Yong, tiada seorang pun para pemegang saham itu masih hidup ketika ini dan 11 daripada mereka meninggal dunia.

Pemegang saham terbabit telah membayar modal syarikat itu dan mereka hanya pemegang amanah syarikat.

Setelah itu, Teng menulis surat kepada Wong menuntut pemindahan harta itu kepada parti dalam masa 20 hari.

Teng berkata, parti itu akan melantik kakitangan undang-undang untuk mengendalikan proses undang-undang dan dokumen untuk menguatkuasakan pemindahan harta itu.

Wong memberitahu bahawa beliau mencadangkan agar bangunan itu dijual dan hasilnya didermakan kepada badan kebajikan tetapi cadangannya itu tidak diterima oleh Yong.


Read more: http://www.theborneopost.com/2014/02/03/wong-enggan-penuhi-permintaan-teng-pindah-tiga-lot-kedai-kepada-supp/#ixzz2sHcnhRF2


Tiada ulasan: