Rabu, 19 Mac 2014

95 lorong memotong Jalan Pan Borneo dibina - Fadillah


KUALA LUMPUR - Kementerian Kerja Raya telah mengenal pasti keperluan untuk membina 95 lorong memotong di sepanjang Jalan Pan Borneo, di antara Sabah dan Sarawak, kata menterinya Datuk Fadillah Yusof.

Beliau berkata pembinaan lorong memotong itu dilaksanakan di laluan sedia ada untuk memberi keselesaan pemanduan kepada pengguna khususnya di laluan berbukit dan selekoh serta mengurangkan risiko kemalangan.

"Daripada jumlah itu, 17 projek membina lorong memotong telah dan sedang dibina, iaitu 10 di Sarawak dan tujuh di Sabah.

"Setakat ini, lima lorong memotong di Sarawak dan lima lokasi di Sabah telah disiapkan," katanya menjawab soalan Wong Ling Biu (DAP-Sarikei) di Persidangan Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Bagi tempoh jangka panjang pula, Fadillah berkata kerajaan akan menaik taraf keseluruhan Jalan Pan Borneo sedia ada kepada laluan berkembar secara berperingkat sehingga tahun 2015.

Katanya projek lorong memotong yang telah dan sedang dibina itu akan diserap sebagai sebahagian daripada skop pembinaan laluan berkembar berkenaan. - Bernama

Tiada ulasan: