Rabu, 26 Mac 2014

Adenan Satem selar tindakan Anwar pertikai larangan masuk Sarawak


MUKAH: Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem menyelar tindakan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berterusan mempertikaikan keputusan kerajaan negeri menguatkuasakan larangan masuk ke atas beberapa individu dari Semenanjung, termasuk pemimpin pembangkang ke Sarawak.

Malah, beliau mencabar Anwar untuk mengambil tindakan undang-undang, termasuk menyamannya dan kerajaan negeri sekiranya tidak berpuas hati dengan perintah itu.

"Siapa Anwar (Ibrahim).... kita tidak pernah gentar dengan individu bernama Anwar (Ibrahim). Beliau cukup bernasib baik kerana kita masih membenarkannya masuk ke negeri ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Balai Raya Kampung Teh, di sini, sebentar tadi.

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sarawak, berkata negeri ini sudah cukup aman, malah rakyatnya hidup bersatu dalam suasana penuh harmoni walaupun berbeza kepercayaan agama dan etnik budaya.

"Sarawak tidak memerlukan campur tangan orang luar untuk menentukan hala tuju dan masa depannya. Tidak perlu ada orang luar datang sini untuk menimbulkan kekacauan di sini," katanya.

Tiada ulasan: