Rabu, 19 Mac 2014

Adenan suarakan hak Sarawak, disokong.

KUCHING: Hubungan Sabah Sarawak dengan Kerajaan Persekutuan tidak sama dengan hubungan negeri-negeri di Semenanjung Malaysia.
Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem berkata: “Kita ialah sebuah negeri yang mempunyai autonomi seperti yang terkandung dalam Perjanjian Malaysia.
“Kita tidak menyertai Malaysia, tetapi kita ialah sebahagian entiti yang membentuk Malaysia. Tiada Malaysia sebelum Perjanjian Malaysia ditandatangani. Kita ialah rakan kongsi kepada Persekutuan.”
Rakyat Sarawak menyokong kenyataan Adenan yang berani menyuarakan hak dan kedudukan mereka dalam Malaysia.
“Ketua Menteri kita sudah mengingatkan kita bahawa Sarawak bukan negeri, sejarah sudah diputar belit selama ini,” ujar Nadune Tajul.
Reno Val pula berkata: “Jangan jadi kes macam Tan Sri Stephen Kalong Ningkan, beliau seorang sahaja yang bersuara pasal hak Sarawak tetapi menteri lain semua undi tidak percaya kepada beliau.”
Clave Perez Lking juga menambah, “Sila suarakan hak kita dan berpisah sekarang sebelum terlambat, Malaysia akan tumbang dan inilah masa untuk bertindak tepat.”
Sementara itu, Adenan dalam satu kenyataan berkata bahawa hubungan Sarawak dengan Kerajaan Persekutuan mestilah mengikut perlembagaan yang betul.
“Hubungan antara Sarawak dan Kuala Lumpur adalah berbeza daripada Pahang,” tegas beliau.
Sarawak pernah berdepan dengan krisis perlembagaan pada tahun 1966 apabila 21 daripada 42 Adun Sarawak mengisytiharkan bahawa mereka tidak mempunyai keyakinan terhadap Stephen Kalong Ningkan yang memegang jawatan Ketua Menteri Sarawak.
Penyingkiran Stephen berlaku hasil daripada campur tangan Kerajaan Persekutuan kerana kelantangan beliau menuntut status autonomi negeri yang lebih besar. - FMT

Tiada ulasan: