Isnin, 31 Mac 2014

Adenan ulangi pendirian halang rasis masuk Sarawak

KUCHING - Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem hari ini berkata isu sama ada Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali dibenarkan memasuki Sarawak baru-baru ini sudah tidak lagi relevan.

"Tapi, beliau (Ibrahim) akan tahu apa yang akan berlaku pada lain kali sekiranya dia datang ke Sarawak," kata Adenan pada sidang akhbar di pejabatnya di Wisma Bapa Malaysia di sini.

Adenan, dalam kenyataan yang disiarkan baru-baru ini berkata, kerajaan tidak akan teragak-agak menghalang petaksub agama, rasis dan pembuat kacau daripada memasuki Sarawak, manakala mereka yang sudah berada di negeri ini akan dihantar pulang sekiranya mereka mencetuskan ketegangan kaum dan agama.

Beliau menolak dakwaan bahawa kerajaan negeri membenarkan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim memasuki Sarawak kerana terdapat tekanan antarabangsa.

"Kami membenarkan beliau masuk kerana kami tidak takut kepadanya," kata beliau.

Adenan juga berkata kerajaan negeri mempunyai senarai nama mereka yang dihalang daripada memasuki Sarawak.   

Jabatan Imigresen negeri menafikan laporan bahawa Ibrahim memasuki Sarawak baru-baru ini, walaupun terdapat dakwaan beliau berada di negeri ini dan dilaporkan merasmikan satu acara anjuran Perkasa Sarawak serta melakukan lawatan kerja ke Persatuan Kebangsaan Melayu Sarawak (PKMS) di Satok, Petra Jaya. 

Adun Batu Lintang See Chee How mempersoalkan kesungguhan politik dan komitmen BN negeri untuk tidak membenarkan rasis dan petaksub agama memasuki Sarawak.

See, yang juga naib pengerusi PKR Sarawak, berkata sekiranya kerajaan negeri benar-benar menghayati kata-kata Adenan untuk memulihara keharmonian kaum dan agama serta kestabilan politik di Sarawak, Ibrahim tidak sepatutnya dibenar langsung memasuki negeri ini.

Aktivis hak asasi manusia Peter John Jaban juga bertanya kenapa Ibrahim dibenarkan memasuki negeri ini, walaupun beliau pernah mengeluarkan kenyataan yang sensitif dan bersikap rasis di semenanjung Malaysia. 

Beliau berkata pada hari ketua menteri mengeluarkan kenyataan untuk membebaskan Sarawak daripada petaksub agama dan rasis, Ibrahim Ali secara terang-terangan mempamerkan dirinya di sekitar Kuching dan Samarahan. - Bernama


Posted via Blogaway

Tiada ulasan: