Ahad, 9 Mac 2014

Adrian Alfonsus dan Paul Druce antara calon pilihan utama Barisan Nasional

Paul Druce ketika merakam kenangan bersama Dato Sri Mahmud Abu Bekir Taib
KUCHING 6 Mac - Barisan Nasional (BN) Sarawak sudah memilih beberapa anak tempatan untuk dipilih sebagai calon bagi mewakili parti itu bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Balingian dalam pilihan raya kecil (PRK) yang akan diadakan pada 29 Mac ini.

Antara nama yang disebut-sebut sebagai calon dipilih untuk bertanding mengisi kerusi yang dikosongkan oleh bekas penyandangnya, Tan Sri Abdul Taib Mahmud ialah seorang jurutera, Adrian Alfonsus Dorhat, 34, yang difahamkan menjadi pilihan utama ketika ini.

Nama yang turut menjadi pilihan ialah bekas Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan negeri, Akit Sebli, 58; Paul Druce, 52, yang kini terlibat dalam industri cari gali minyak di Miri dan Timbalan Residen Betong, Datuk Anthony Valentine Laiseh, 50-an yang juga merupakan bekas Timbalan Residen Mukah.

Felo Penyelidik Kursi Nusantara, Institut Pengajian Asia Timur, Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Dr. Awang Azman Awang Pawi berkata, semua nama yang disebutkan itu merupakan anak tempatan berketurunan Melanau bagi memenuhi ciri-ciri calon pilihan yang dikehendaki oleh penduduk di DUN berkenaan.

Beliau berkata, bagi PRK yang bakal diadakan di Balingian kali ini, BN kemungkinan memilih calon berketurunan Melanau bukan Islam untuk bertanding di kerusi tersebut sebagai memenuhi 'perjanjian' tidak bertulis yang termaktub sejak pemerintahan bekas Ketua Menteri Sarawak ketiga, Tun Abdul Rahman Ya'kub.

"Sebenarnya terdapat satu perjanjian tidak bertulis sejak zaman Tun Abdul Rahman menjadi Ketua Menteri Sarawak dalam pemilihan calon di kawasan Parlimen Mukah dan DUN di bawahnya termasuk DUN Balingian.

"Perjanjiannya adalah jika kawasan Parlimen diwakili oleh wakil rakyat Melanau beragama Islam maka salah sebuah daripada DUN pula harus diwakilkan oleh pemimpin Melanau bukan Islam dan begitulah sebaliknya bagi mewujudkan keseimbangan kuasa di situ," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi.

Menurutnya, sebelum ini, Parlimen Mukah telah dimenangi oleh Datuk Seri Dr. Leo Micheal Toyad yang merupakan seorang Melanau Kristian, manakala Abdul Taib seorang Melanau Islam menduduki DUN Balingian.

Beliau berkata, kedua-dua kerusi Parlimen dan DUN itu kemudian diduduki oleh Melanau Islam apabila Leo memeluk Islam dan menukar nama kepada Muhammad Leo Michael Toyad Abdullah.

Sehubungan itu katanya, tidak mustahil BN dalam PRK Balingian kali ini memilih calon Melanau beragama Kristian bagi mengisi kerusi tersebut bagi mengimbangkan kuasa politik memandangkan penduduk di situ terdiri daripada penduduk Islam, Kristian dan pengikut ajaran animisme yang berbilang kaum. UM

Tiada ulasan: