Rabu, 19 Mac 2014

Anak penebang sagu mahu ubah nasib penduduk

MUKAH - Kehidupan miskin yang dijalani semasa zaman persekolahan menjadikan calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balingian, Yussibnosh Balo, 48, cukup prihatin kepentingan pelajaran terhadap masyarakat.

Bagi Yussibnosh atau lebih mesra dipanggil Buih oleh keluarga dan penduduk kampungnya di Tellian Tengah di sini, pengalaman hidup susah sebagai anak penebang pokok sagu atau rumbia mendorongnya belajar bersungguh-sungguh sehingga berjaya melanjutkan pelajaran ke universiti dan menjawat pekerjaan sebagai kakitangan awam yang kemudian mengubah kehidupannya seperti hari ini.

Bekas Pegawai Daerah Dalat itu memberitahu, menyedari betapa pelajaran amat penting dan mampu mengubah taraf hidup masyarakat, beliau meletakkan sasaran mahu meningkatkan taraf pendidikan penduduk Balingian jika dipilih menjadi wakil rakyat di situ.

Anak sulung daripada lima beradik itu berkata, kebanyakan penduduk Mukah termasuk Balingian bergantung hidup dengan pekerjaan dalam industri memproses sagu dan nelayan.

“Keluarga saya memang hidup susah suatu ketika dahulu kerana ibu bapa saya hanya bekerja menebang sagu untuk menyara kehidupan, malah dalam sijil kelahiran turut ditulis pekerjaan bapa saya ialah penebang sagu. “Ketika itu, upah bagi sebatang sagu yang ditebang hanya RM1.60.

Hasil pendapatan yang tidak seberapa itu digunakan untuk menyara kami sekeluarga," katanya ketika ditemui dalam majlis randau atau ramah mesra bersama wartawan di inap desa Lamin Dana di sini malam tadi.

Menurut Yussibnosh, disebabkan kemiskinan, seorang adik perempuannya terpaksa berhenti sekolah semasa darjah tiga kerana mengambil alih tugas menjaga adik-adik yang masih kecil ketika ibu bapanya keluar bekerja menebang sagu.

Mengimbas semula kehidupan sukar yang dilalui, beliau berkata, akibat kemiskinan juga mereka sekeluarga menjadikan sagu sebagai makanan rugi setiap hari kerana ibu bapanya tidak mampu membeli beras.

Beliau berkata, ketika bersekolah rendah di Sekolah Rendah Kebangsaan (SK) Three Rivers di Mukah, beliau terpaksa berkaki ayam berjalan kaki meredah jalan denai selama kira-kira sejam untuk berulang-alik ke sekolah.

“Saya memakai kasut getah putih atau popular dipanggil ‘kampung adidas’ ke sekolah dan terpaksa buka kasut dalam perjalanan kerana tidak mahu mengotorkannya. “Apabila memasuki sekolah menengah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Binatang sekarang dipanggil Bintangor di Meradong, ibu hanya membekalkan wang cukup-cukup untuk membayar tambang bas dan bot untuk pergi ke sekolah dan 10 hingga 15 biji telur untuk mengalas perut," katanya.

Menurutnya, beliau terpaksa bangun seawal pukul 2 pagi untuk menaiki bas mini ke Oya sebelum menaiki bot ke Sibu dan menaiki sebuah bas untuk sampai ke SMK Binatang.

Menyedari kehidupan susah dan mahu menjadi idola kepada adik-adiknya, Yussibnosh belajar bersungguh-sungguh sehingga lulus cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tetapi terpaksa menolak tawaran belajar ke luar negara kerana bapanya tidak mampu membiayai pengajian.

Namun beliau berjaya melanjutkan pelajaran ke Universiti Utara Malaysia (UUM) di Sintok, Kedah dan memperoleh Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Awam dengan Kepujian.

Bapa kepada tujuh anak termasuk sepasang kembar berusia dua tahun itu berkata, pengalaman hidup sukar yang dilalui menyebabkan beliau amat terharu apabila ditawarkan oleh Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem untuk dicalonkan mewakili BN bertanding di DUN Balingian. - Utusan Online
Posted via Blogaway


Posted via Blogaway

Tiada ulasan: