Rabu, 12 Mac 2014

Anwar bayar ikat jamin RM10,000.00

Putrajaya: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hadir ke Mahkamah Rayuan di sini, semalam, untuk membayar ikat jamin RM10,000 selepas dijatuhi hukuman penjara lima tahun, Jumaat lalu. 

Bayaran itu susulan keputusan Mahkamah Rayuan, yang menjatuhkan hukuman penjara lima tahun terhadap Anwar, selepas didapati bersalah meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, 28, enam tahun lalu. 

Mahkamah Rayuan dalam keputusannya, turut mengarahkan Anwar membayar ikat jamin sebelum jam 11 pagi, semalam. 

Bagaimanapun, Anwar hanya tiba di pekarangan Istana Kehakiman kira-kira jam 12.30 tengah hari, selepas menghadiri pembukaan Mesyuarat Pertama, Penggal Kedua Parlimen Ke-13 di ibu kota. 

Fail notis rayuan 

Beliau kemudian dilihat bergegas menuju pejabat pendaftar Mahkamah Rayuan untuk membayar ikat jamin, dengan ditemani ketua staf ibu pejabat PKR, Ibrahim Yaacob, selaku penjamin serta abangnya Rosli Ibrahim. 

Terdahulu, Anwar melalui peguam belanya, Ramkarpal Singh turut memfailkan notis rayuan di pejabat pendaftar Mahkamah Rayuan dan menyerahkan salinan dokumen berkenaan kepada Mahkamah Persekutuan. 
Ramkarpal, ketika ditemui di luar mahkamah, berkata pihaknya mempunyai 10 hari untuk memfailkan petisyen rayuan sebaik menerima alasan penghakiman daripada Mahkamah Rayuan. BH

Tiada ulasan: