Khamis, 20 Mac 2014

Badan kewangan bantu pembeli rumah ditubuh

SIDANG MEDIA: Abang Johari menerangkan tentang Rang Undang-Undang
Pembangunan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 2013 di Kuching, semalam.
KUCHING: Bagi membantu golongan yang layak membeli rumah tetapi pinjamannya ditolak oleh bank, sebuah badan kewangan iaitu Mutiara Morgage & Kredit Sdn Bhd ditubuhkan oleh Kementerian Perumahan.

Menterinya Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata, ia merupakan salah satu usaha kerajaan memastikan penduduk yang benar-benar mampu memiliki rumah sendiri dapat dibantu.

“Melalui badan kewangan ini, kita akan meneliti latar belakang peminjam terlebih dahulu bagi memastikan mereka layak diberi pinjaman.

“Melalui peruntukan RM7 juta daripada kerajaan pusat, kita akan berusaha memohon jumlah yang sama daripada kerajaan negeri, menjadikannya RM14 juta bagi membolehkan kita membantu lebih ramai rakyat yang layak untuk memiliki rumah sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang media Mesyuarat Jawatankuasa Koordinasi Perumahan Negeri (SHCC) Ke-12 di Hotel Riverside Majestic di sini, semalam.

Tambah Abang Johari, dalam mesyuarat dihadirinya sebelum itu pihaknya telah dimaklumkan oleh pihak bank bahawa rakyat berpendapatan rendah boleh memohon Skim Pinjaman Perumahan Mampu Milik kepada pihak bank menerusi dana diperuntukkan Kementerian Kewangan.

Dalam perkembangan lain, beliau yang juga Menteri Pelancongan memberitahu bahawa pihaknya kini sedang berusaha mencari formula bagi mengawal harga rumah daripada terlalu tinggi.

“Hari ini, sebuah rumah teres dua tingkat bernilai antara RM300,000 hingga RM350,000.

“Namun begitu, jika terletak di Kota Samarahan, Petra Jaya serta beberapa kawasan yang agak padat, harga rumah yang sama boleh mencapai sehingga RM400,000.

“Oleh sebab itu, ia tidak dapat dibeli oleh golongan yang mempunyai pendapatan keluarga RM3,000 ke bawah,” jelasnya.

Beliau turut memaklumkan bahawa pada tahun ini, terdapat lebih 2,000 rumah di kawasan Matang, Kota Samarahan, Kuching, Tabuan dan Rumah Mesra Rakyat di Kuching, Sibu dan Miri selain di kawasan kecil seperti di Mukah dan Kanowit.

Dalam perkembangan lain, Abang Johari memberitahu kerajaan juga akan bekerjasama dengan pihak swasta iaitu Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Sarawak (SHEDA).

“Melalui usaha sama ini, kita mewujudkan Dana Amanah Rumah yang mana kerajaan akan membangunkan 30 peratus kawasan dalam kos rendah yang sepatutnya dibangunkan dalam setiap projek perumahan oleh pihak swasta.

“Sudah pasti kita akan berbincang dan membuat perjanjian dengan pihak swasta terbabit supaya kolaboratif tersebut membawa kebaikan kepada kedua-dua pihak,” ujarnya.

Abang Johari berharap formula yang sedang dirancang dapat membantu rakyat terutama yang berpendapatan RM3,000 ke bawah supaya setiap rakyat di Sarawak memiliki rumah sendiri. – Borneo Post

Tiada ulasan: