Selasa, 25 Mac 2014

Budaya politik Semenanjung tidak sesuai di Sabah dan Sarawak

PETALING JAYA: Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak tertarik dengan suara lantang Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem yang tegas dan jelas, serta berterus-terang untuk tidak membenarkan ekstremis kaum dan agama serta lain-lain pembuat kacau memasuki Sarawak.
Katanya, pendirian Ketua Menteri Sarawak tersebut jelas menunjukkan bahawa beliau mempunyai cara dan stail kepemimpinannya yang tersendiri.
“Saya berkesempatan untuk bertemu dengannya di Mukah baru-baru ini ketika penamaan calon PRK Balingian. Dalam ‘crowd’ yang begitu ramai, saya sempat untuk bersalaman dengannya,” katanya dalam dalam posting blognya yang terbaru www.sskeruak.blogspot.com.
Katanya lagi, di sebalik wajahnya yang kelihatan serius dan garang, Adenan sebenarnya cukup peramah, mudah mesra, dan ‘humor’ dalam perbualan. Namun, beliau cukup tegas apabila bercakap mengenai hal-hal yang serius.
“Apabila membaca laporan kenyataannya pada Sabtu lepas, berkaitan kumpulan ekstremis menceroboh ke Sarawak, saya memahami maksud dan pendirian tegasnya itu.  Bahawa beliau tidak akan berkompromi terhadap perkara-perkara serius, apatah lagi dengan perkara-perkara yang boleh menggugat keharmonian dan perpaduan rakyat,” jelasnya.
Bahkan, dalam nada yang serius, Adenan turut menegaskan, beliau bukan mahu berlagak angkuh apabila berhasrat mahu menghalang ekstremis kaum dan agama serta lain-lain pembuat kacau daripada memasuki Sarawak.
“Saya bukan angkuh, tetapi sebagai Ketua Menteri Sarawak, tanggungjawab utama saya ialah melindungi keamanan dan keharmonian di negeri ini,” demikian kata  Adenan Satem, sambil menyatakan beliau mempunyai senarai individu terlibat.
Salleh yang juga ADUN Usukan juga berpendapat apa yang dikatakan oleh Ketua Menteri Sarawak itu pasti mendapat reaksi positif majoriti rakyat Sarawak yang sememangnya cintakan keamanan.
“Selain menepati kehendak dan aspirasi rakyat, ia sememangnya seiring kuasa autonomi yang termaktub dalam perjanjian ketika pembentukan Malaysia dahulu,” katanya.
Beliau menambah, ketegasan Kerajaan Sarawak untuk menghalang kemasukan mana-mana ekstremis atau pelampau ke negeri itu ada justifikasinya yang tersendiri, memandangkan tahap perpaduan rakyat di kedua-dua negeri Sabah dan Sarawak begitu tinggi biarpun dalam keunikan dan kepelbagaian lebih 40 suku kaum dan sub-etnik yang ada.
“Soal perpaduan dan keamanan adalah sama penting dengan usaha mengekalkan hubungan baik antara kerajaan negeri dan Persekutuan,” ujarnya.
Sehubungan dengan itu, apabila terjalin hubungan baik antara kerajaan negeri dan persekutuan, maka keamanan akan wujud dengan sendirinya, sekali gus membawa kepada pembangunan yang lebih rancak untuk manfaat rakyat.
“Dalam konteks ini, saya sependapat dengan Adenan bahawa Sabah dan Sarawak mempunyai kuasa-kuasa autonomi tertentu yang dipersetujui dalam Perjanjian Malaysia. Demikian juga hak hak serta keistimewaan kita dilindungi dalam Perlembagaan,” jelasnya.
Beliau menambah, bagi Sabah pula, BN harus senantiasa melindungi kepentingan Sabah sebagaimana yang telah dipersetujui sewaktu Merdeka dahulu.  Datuk Seri Najib Tun Razak adalah seorang Perdana Menteri yang memahami sejarah serta kedudukan Sabah dan Sarawak, sebab itulah beliau menerima hakikat negara ini dibentuk 16 September dan hari tersebut telah diwartakan  sebagai cuti umum.
Malah  Salleh  turut bersetuju bahawa, Sabah, Sarawak dan Semenanjung adalah rakan atau `partner’ pembentukan negara.
“Hakikat ini perlu diterima oleh pucuk kepemimpinan kita,

“Maka dalam konteks inilah, konsep `decentralization and delegation of power’ harus dilaksanakan di mana boleh dan bersesuaian,” ujarnya lagi.
Perkara ini adalah amalan yang sejajar dengan sistem Persekutuan serta semangat 18 points untuk Sarawak dan 20 points tidak harus diketepikan.
Katanya, dalam hal kesatuan dan perpaduan, Sabah dan Sarawak mempunyai keunikan yang jauh berbeza berbanding di Semenanjung. Sebab itu, budaya politik di Semenanjung tidak semua sesuai di Sabah dan Sarawak.
“Kita bersaing politik secara sihat dan jangan terbawa-bawa isu-isu yang boleh menjejaskan hubungan agama dan kaum yang sudah terpupuk sejak merdeka lagi,” katanya.

Tiada ulasan: