Khamis, 20 Mac 2014

Calon PKR hanya mencuba nasib di PRK DUN Balingian


MUKAH: Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang menyifatkan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balingian hanya untuk mencuba nasib.

Beliau mengibaratkan calon PKR sebagai sebuah tongkang yang hanyut dan meminta kasihan daripada orang ramai untuk membantunya.

Beliau memberitahu, calon PKR yang menentang calon Barisan Nasional (BN) pada PRK DUN Balingian merupakan calon yang pernah kecundang di tangan BN ketika bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2011 di Bintulu untuk merebut kerusi DUN Jepak yang kini disandang Datuk Talib Zulpilip.

“Calon PKR seolah-oleh sebuah tongkang yang hanyut dari Bintulu dan sekarang tersekat di muara yang hanya meminta kasihan daripada kelasi kapal untuk mengikutnya selain meminta bantuan dan pertolongan daripada orang ramai,” katanya dengan nada berseloroh.

“Perkara ini juga jelas kedengaran daripada mulut masyarakat yang bercerita mengenai calon PKR ini di kedai-kedai kopi yang me-ngatakan calon PKR pernah kalah di Bintulu.

“Calon PKR bertanding di kerusi DUN Balingian pada PRK ini meminta perhatian daripada rakyat atau pengundi kerana dia ingin mencuba nasib di sini selepas dia kalah pada PRN untuk merebut kerusi DUN Jepak pada 2011 yang lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Geruna di Temesu.
Jabu berkata rakyat harus sedar dan boleh menyedari perkara ini.

Oleh itu, beliau berharap pengundi yang akan mengundi pada 29 Mac ini memilih pucuk pimpinan sedia ada.

Selain itu, beliau memberitahu bahawa peringkat tertinggi BN telah memilih calon yang sesuai, layak dan mampu memikul amanah yang diberikan.

“Kerajaan telah memilih calon yang sesuai yang terus mampu memberi sumbangan kepada rakyat untuk membawa kemajuan dan pembangunan di kawasan DUN Balingian khususnya,” kata Jabu.

Justeru, beliau berharap rakyat akan terus memberi sokongan padu dan terus memilih BN untuk terus memerintah di kawasan DUN Balingian.

Turut hadir Datuk Dr Stephen Rundi Utom dan calon BN Yussibnosh Balo serta isterinya Elizabeth Nelson dan pegawai kerajaan yang lain. - Borneo Post

Tiada ulasan: