Jumaat, 21 Mac 2014

Hansard Parlimen mengenai kenyataan Wan Junaidi diedar kepada media

Hansard Parlimen Malaysia bertarikh 18 Mac mengenai jawapan Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar (gambar) di Dewan Rakyat berhubung kes rogol bawah umur diedarkan kepada media hari ini.

Hansard itu diedarkan oleh Setiausaha Sulit Kanan timbalan menteri itu,  Wan Hamzah Wan Paie berikutan jawapan Wan Junaidi itu didakwa disalah tafsir beberapa pihak.

Selain Hansard bertarikh 18 Mac, turut diedarkan pada sidang akhbar itu adalah Hansard 19 Mac mengenai kenyataan anggota Parlimen Kuching dari DAP, Chong Chieng Jen mendakwa jawapan Wan Junaidi itu telah menyakitkan perasaan kaum lain.

Berikut petikan Hansard jawapan Wan Junaidi:

"Statistik mangsa jenayah rogol yang melibatkan remaja 15 tahun ke bawah bagi 2012 adalah sebanyak 1,550. Mangsa terdiri daripada 1,243 Melayu (80%), sebanyak 73 Cina (5%), 45 India (3%), dan 189 lagi lain lain bangsa iaitu 12%.

"Bagi tahun 2013, seramai 1,424 mangsa rogol dilaporkan iaitu 1,147 Melayu, 62 Cina, 32 India dan 183 lain-lain bangsa.

"Ini bukan bermakna orang Melayu kebanyakannya secara nisbah melakukan kes rogol secara sedemikian. Sebenarnya oleh kerana orang Melayu sensitif sangat kepada kes-kes seks di antara belia ini, maka laporan mesti dibuat pihak-pihak ini.

"Pihak lain mungkin kurang sensitif kepadanya maka nisbahnya dapat diterima, perkara yang berlaku itu boleh diterima oleh pihak-pihak lain. Maka nisbahnya lebih di bawah dan turun sedikit daripada angka yang ada di balai polis."

Wan Hamzah berkata Wan Junaidi kini terikat dengan peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat 36 (12) iaitu ahli yang berhormat yang dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan tidak boleh membuat sebarang kenyataan sehingga Yang Dipertua Dewan membuat keputusan, dijangka Selasa ini. - Bernama, 21 Mac, 2014.


Posted via Blogaway

Tiada ulasan: