Jumaat, 21 Mac 2014

Hari Bertemu Pelanggan Kementerian Sumber Manusia di Balingian diadakan pada Ahad


KUCHING: Semua jabatan dan agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia (KSM) di Sarawak akan menyertai Hari Bertemu Pelanggan anjuran kementerian itu di Dewan Seri Parish, Sekolah Kebangsaan (SK) Parish, Balingian pada Ahad ini (23 Mac 2014).

Program yang bermula jam 9 pagi itu akan dirasmikan Menteri Sumber Manusia Datuk Richard Riot Jaem dan turut diadakan ialah Karnival Pekerjaan, Kemahiran, Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan.

Menurut kenyataan akhbar daripada Jabatan Tenaga Kerja Sarawak, Hari Bertemu Pelanggan KSM bertujuan memberi peluang kepada masyarakat di sekitar Balingian mendapat maklumat dan perkhidmatan secara terus daripada jabatan serta agensi berkenaan khususnya yang berada di negeri ini.

Program itu juga memberi peluang kepada orang ramai memohon pelbagai jawatan dan mendapatkan pekerjaan secara terus melalui temu duga terbuka yang dijalankan para majikan semasa karnival berlangsung.

Mereka yang berminat diminta membawa bersama resume atau profil peribadi dan dokumen-dokumen berkaitan.

Selain peluang pekerjaan, karnival itu juga akan memasarkan latihan- latihan kemahiran yang ditawarkan oleh institusi latihan seperti Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kota Samarahan, ILP Miri dan Pusat Latihan Teknologi Tinggi Bintulu.

Program itu juga bertujuan memberi kesedaran kepada masyarakat setempat mengenai langkah-langkah keselamatan di tempat kerja dan amalan kesihatan bagi pekerja ketika melakukan pekerjaan harian.

Semua lapisan masyarakat dijemput menghadiri program berkenaan. - Borneo Post

Tiada ulasan: