Rabu, 26 Mac 2014

Jalan baharu Mukah-Bintulu mudahkan pemanduan


MUKAH - Sarawak akan membina jalan baharu sepanjang 11 kilometer bernilai RM230 juta yang akan memendekkan tempoh perjalanan antara Mukah dan Bintulu selama sejam apabila siap pada akhir 2016.
   
Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Komunikasi Sarawak Datuk Seri Michael Manyin Jawong berkata peruntukan itu diluluskan oleh kerajaan negeri tahun lepas dan projek melibatkan kawasan Kuala Serupai dan Kuala Tatau.
   
"Projek ini bukan gula-gula pilihan raya tetapi telah diluluskan tahun lepas. Surat hasrat kepada kontraktor yang berjaya juga sudah diserahkan manakala kerja dijangka bermula Mei atau Jun dan turut melibatkan pembinaan tiga buah jambatan," katanya dalam sidang media, di sini hari ini.
   
Manyin menyifatkan jalan baharu itu sebagai 'pelengkap' antara Mukah dan Bintulu yang membentuk sebahagian daripada Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui Sarawak.
   
Katanya, pada masa ini perjalanan dari Mukah ke Bintulu menggunakan Jalan Selangau-Metadeng mengambil masa sekurang-kurangnya tiga jam meliputi jarak lebih 300 kilometer.
   
Apabila jalan baharu itu siap, penduduk boleh ke Lapangan Terbang Bintulu dalam masa sejam manakala dua jam untuk ke bandar Bintulu, katanya. - Bernama

Tiada ulasan: