Ahad, 23 Mac 2014

Keharmonian masyarakat perlu dijaga: Adenan

Mukah: "Saya bukan angkuh mahu menghalang golongan pelampau agama dan perkauman memasuki Sarawak, tetapi keamanan rakyat perlu dipelihara.”

Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem, berkata beliau bertanggungjawab memastikan keharmonian masyarakat pelbagai kaum dan agama di negeri ini tidak terjejas oleh hasutan puak luar.

Beliau tidak teragak-agak menambah senarai mereka yang dihalang memasuki Sarawak jika hanya bertujuan untuk mencetuskan kekacauan.

Berucap merasmikan Seminar Kepemimpinan Masyarakat Bahagian Mukah di sini, semalam, Adenan berkata, rakyat Sarawak menolak usaha memecah-belah perpaduan mereka.

“Saya harap ketua masyarakat menggunakan kuasa dimiliki untuk mengusir golongan pelampau agama dan kaum yang cuba menghasut penduduk setempat.
“Anda bertanggungjawab memastikan keamanan dan keharmonian penduduk di kampung dan rumah panjang berkekalan.
“Anda berhak mengusir mereka yang cuba menanam sentimen perkauman atau isu agama jika mereka datang ke tempat anda,” katanya.

Berucap pada majlis berasingan di Kampung Petanak, Adenan berkata, pengundi tidak harus menganggap Barisan Nasional (BN) akan meraih kemenangan mudah pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balingian, 29 Mac ini.

“Jangan terlalu yakin calon BN (Yussibnosh Balo) akan menang hingga kita tidak keluar mengundi. Pemikiran ini berbahaya kerana boleh membuatkan kita kehilangan undi.

“Saya mahu pengundi keluar menunaikan tanggungjawab pada 29 Mac ini dan beri sokongan padu kepada calon anak tempatan BN untuk meneruskan pembangunan di Balingian,” katanya.


Posted via Blogaway

Tiada ulasan: