Isnin, 24 Mac 2014

Kelewatan projek tidak disengajakan, YB Nancy Shukri


Mukah: Barisan Nasional (BN) mengakui berlaku sedikit kelewatan dalam pelaksanaan beberapa projek pembangunan dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Balingian.

Bagaimanapun, ia bukan bermakna kerajaan meminggirkan keperluan penduduk setempat, malah usaha sentiasa digerakkan bagi meningkatkan taraf hidup mereka. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri, berkata BN tidak berpegang terhadap konsep politik bermusim dan ia dibuktikan menerusi pelaksanaan pelbagai program pembangunan di seluruh negara, terutama kawasan luar bandar.

Tetap laksana pembangunan

“Pembangunan tetap dilaksanakan tanpa mengira kawasan itu dikuasai BN atau pembangkang kerana kita mengutamakan rakyat.

“Bagaimanapun, ada projek pembangunan tertentu mengalami kelewatan dan ia bukan disengajakan, sebaliknya disebabkan beberapa kekangan termasuk faktor kos, isu tanah dan prosedur bagi tujuan kelulusan,” katanya kepada pemberita, di sini semalam.

Terdahulu, beliau menghadiri Program Pemimpin Bersama Rakyat di Kampung Tutus Hilir, di sini sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Balingian.
Menteri Kerja Raya, Datuk Fadillah Yusof dan calon BN bagi kerusi DUN Balingian, Yussibnosh Balo, hadir sama.

Nancy turut menafikan dakwaan pembangkang kononnya pembangunan di kawasan ini adalah disebabkan BN terdesak mendapatkan sokongan rakyat.

“Balingian sudah lama menjadi antara kubu terkuat BN Sarawak manakala pembangunan diumumkan sebelum ini sudah lama dirancang.

“Pembangkang cuba mengelirukan rakyat dan mahu ‘menumpang tuah’ projek dibangunkan kerajaan untuk mendapat nama dan menjadi popular,” katanya.


Beliau berkata, PKR menyertai PRK Balingian hanya untuk mengacau penguasaan BN dan ia membuktikan pembangkang tidak serius dalam agenda meningkatkan taraf hidup rakyat.

Tiada ulasan: