Khamis, 20 Mac 2014

Kerajaan beri tanah kepada penduduk untuk tujuan pertanian di Balingian

Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan
MUKAH - Dakwaan kononnya kerajaan Sarawak merampas tanah di negeri ini merupakan satu pembohongan yang sengaja direka oleh pembangkang untuk menimbulkan perasaan kebencian dalam kalangan rakyat , kata Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar II Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan semalam.

Katanya dakwaan berkenaan yang menjadi sebahagian daripada modal kempen pembangkang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Balingian ini bertujuan semata-mata untuk mengelirukan rakyat dan bahan untuk meraih undi.

"Untuk apa kerajaan hendak rampas tanah sedangkan kerajaan memberi tanah kepada rakyat," katanya semasa berucap pada majlis penyampaian surat kelulusan permohonan tanah kerajaan di Kampung Lintang Balingian, kira-kira 60km dari sini.

Menurutnya walaupun terdapat keperluan untuk kerajaan mengambil alih pemilikan tanah persendirian namun ia bertujuan untuk dijadikan tapak bagi pembangunan infrastruktur seperti jalan raya dan sekolah.

"Kita belum ada teknologi lagi untuk membina sekolah yang tergantung di langit (yang tidak memerlukan tapak tanah)," katanya secara berseloroh sambil menegaskan pemilik tanah yang terlibat akan diberikan pampasan yang sewajarnya.

Pada majlis itu, sebanyak 196 penduduk dari kawasan Balingian yang telah memohon tanah kerajaan untuk tujuan pertanian telah menerima surat hak milik tanah berkenaan. - Bernama

Tiada ulasan: