Ahad, 23 Mac 2014

Larangan kemasukan ekstremis ke Sarawak bukan atas dasar kepentingan politik

Kenyataan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem untuk menghalang mana-mana ekstremis kaum atau agama daripada masuk ke negeri ini bukanlah atas dasar kepentingan politik, sebaliknya mengutamakan perpaduan dan keselamatan Sarawak.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar (gambar) berkata beliau maklum kerajaan negeri mengambil langkah itu bagi memastikan perpaduan dan keselamatan di Sarawak tidak tergugat.

"(Kenyataan) ini bukanlah soal politik tetapi soal perpaduan dan soal keselamatan di negeri ini sentiasa terpelihara," katanya ketika ditemui selepas menghadiri perhimpunan rakyat di Kampung Tellian Tengah di Mukah hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan akhbar yang dikeluarkan Adenan di Kuching semalam yang bertegas untuk menghalang kemasukan individu yang mungkin akan mencetuskan ketegangan kaum dan agama di negeri ini.

Menurut kenyataan itu, sebagai kerajaan yang bertanggung jawab, ia akan menggunakan hak imigresen yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia untuk menghalang kemasukan individu terbabit atau menghantar mereka balik menurut undang-undang yang ada.

Dr Wan Junaidi berkata kenyataan ini tidak seharusnya dilihat hanya dituju kepada pemimpin dan penyokong parti pembangkang sahaja kerana soal perpaduan dan keselamatan negeri Sarawak merupakan tanggungjawab semua pihak.

"Saya berharap semua pihak agar tidak angkuh atau cuba ingkar dengan larangan ini. Janganlah bersikap hipokrit," katanya. - Bernama, 22 Mac, 2014.


Posted via Blogaway

Tiada ulasan: