Isnin, 24 Mac 2014

Loji melebur aluminium terbesar dunia di Balingian


Mukah: Tidak ramai mengetahui kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Balingian menempatkan antara loji melebur aluminium terbesar di dunia.

Ia turut menjadi pusat pengeluaran aluminium berkualiti tinggi bagi menampung pasaran eksport ke sekurang-kurangnya 20 negara merangkumi Asia Timur hingga Amerika Latin.
  
Mula beroperasi empat tahun lalu, loji pelaburan aluminium milik Press Metal Sarawak (PMS) itu adalah antara projek mega menerusi Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE).

Ia adalah antara inisiatif kerajaan Barisan Nasional (BN) Sarawak dalam usaha memacu pertumbuhan sosioekonomi di wilayah tengah negeri ini, sekali gus meningkatkan taraf hidup rakyat.

Wujud 800 peluang kerja

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PMS, Datuk Paul Koon Poh Keong, berkata sejak beroperasi, loji itu mewujudkan kira-kira 800 peluang pekerjaan dengan sebahagian besarnya diisi anak tempatan dari Mukah, Balingian dan kawasan sekitar.

“Dulu kita ada menggunakan khidmat tenaga kerja asing khususnya dari China dan Jepun kerana tidak ramai anak tempatan mahir dalam proses peleburan aluminium berikutan ia agak baru di Malaysia.
“Bagaimanapun, seiring perkembangan semasa, bilangan pekerja asing semakin berkurangan berikutan peningkatan tenaga kerja tempatan yang mahir dalam bidang ini,” katanya kepada BH, di sini semalam.

Selain Balingian, PMS turut memiliki loji di Taman Perindustrian Samalaju, Bintulu, dengan kedua-duanya menghasilkan pulangan mencecah RM3.3 bilion setahun menerusi eksport aluminium.

Unjur peningkatan prestasi syarikat

Beliau ketika mengulas lanjut, berkata pihak mengunjurkan peningkatan prestasi syarikat berikutan meningkatnya permintaan terhadap aluminium itu di pasaran dunia.

Poh Keong berkata, kedua-dua loji peleburan terbabit berupaya beroperasi untuk tempoh 30 hingga 50 tahun akan datang.

“Ini selaras matlamat syarikat menjadi pengeluar utama aluminium di dunia dan mencapai visi ‘Buatan Sarawak Untuk Dunia’.

“Untuk itu, kita memerlukan lebih banyak tenaga kerja mahir, terutama dalam kalangan anak tempatan bagi menampung kapasiti pengeluaran kedua-dua loji ini,” katanya.


Beliau berkata, lebih banyak program kerjasama dengan institusi pengajian tinggi (IPT) khususnya di Mukah dan kawasan sekitar akan dirancang bagi membolehkan pelajar menjalani program perintis atau latihan praktikal di loji syarikat berkenaan.

Tiada ulasan: