Isnin, 10 Mac 2014

Menteri kecam Imigresen lepaskan 2 lelaki Asia dengan pasport Eropah

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Zahid Hamidi mengecam pegawai Imigresen kerana tidak menyemak dengan teliti dan mengenalpasti identiti dua penumpang yang menggunakan pasport curi sehingga mereka bolos memasuki kapal terbang MH370 yang hilang itu.
Zahid menyelar pegawai Imigresen yang membenarkan dua lelaki "Asian" dengan identiti Eropah memasuki kapal terbang itu.
"Saya masih hairan macam mana mereka tidak boleh berfikir penumpang Itali dan Austria tetapi mempunyai wajah Asia," katanya sebagaimana yang dipetik Bernama dan menambah, siasatan dalaman akan dijalankan oleh Jabatan Imigresen mengenainya.
Pada masa ini, tiada kesimpulan boleh dibuat berkaitan dengan isu itu kerana siasatan itu hanya bermula sebaik sahaja pemegang pasport sebenar mendakwa pasport mereka dicuri, katanya."Siasatan itu akan memberikan perhatian khusus kepada cawangan jabatan  di  Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

"Kami akan menjalankan siasatan dalaman, terutamanya pegawai-pegawai yang bertugas di kaunter Imigresen KLIA semasa penerbangan MH370."

Ahmad Zahid berkata, siasatan sedang dijalankan oleh satu pasukan khas yang diketuai Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Aloyah Mamat.

Ahmad Zahid berkata, ia adalah sukar untuk menentukan kesahihan pasport antarabangsa kerana tidak semua negara menggunakan sistem biometrik dan kod bar seperti di Malaysia.

Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam, Datuk Azharuddin Abdul Rahman (gambar) pada sidang media semalam mengatakan hanya dua penumpang dengan pasport palsu menaiki penerbangan MH370, yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing. Penumpang terlibat tmenggunakan pasport Itali dan Austria.
Penerbangan MH370, dengan 239 penumpang, termasuk dua bayi dan 12 anak kapal, dilaporkan hilang dari radar pada jam 1.30 pagi semalam, kira-kira sejam selepas berlepas dari KLIA.

Pesawat itu membawa penumpang dari 14 negara , termasuk 153 dari China dan 38 rakyat Malaysia. – 10 Mac,  2014.

Tiada ulasan: