Ahad, 23 Mac 2014

Pemimpin pembangkang dijangka bertumpu ke Balingian

Barisan Nasional (BN) menjangka menerima "serangan" daripada pasukan parti pembangkang dari Semenanjung yang akan turun ke Balingian untuk membantu kempen calon PKR Abdul Jalil Bujang pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri kawasan Balingian, 29 Mac ini.

Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah (gambar) berkata selepas selesai pilihan raya kecil DUN Kajang esok, pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat dijangka datang untuk berkempen di Balingian.

"Kita telah pun mengarahkan orang-orang kita supaya berwaspada dan bersiap sedia dengan kehadiran mereka di Balingian nanti," kata Fatimah kepada Bernama ketika ditemui selepas merasmikan pameran pendidikan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching di Kuching, hari ini.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan pengundi di Balingian supaya berwaspada dengan kehadiran kumpulan pembangkang terbabit.

Fatimah yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Dalat berkata jentera kempen berjalan lancar dan calon BN nampaknya mendapat sambutan amat menggalakkan daripada pengundi di sana.

"Kita sudah gerakkan seluruh jentera pilihan raya kita yang terdiri daripada kaum bapa, pemuda dan wanita dan tumpuan kita adalah untuk memastikan calon kita menang dengan majoriti undi yang besar," katanya.

Fatimah juga menggesa pengundi-pengundi yang bertugas di luar kawasan Balingian supaya pulang untuk mengundi bagi memastikan kemenangan besar calon BN, Yussibnosh Balo, 48.

Timbalan Ketua Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu itu yakin pengundi wanita yang terdiri daripada 51% di Balingian akan memberi undi majoriti kepada calon BN.

"Bagaimanapun kita perlu bekerja keras untuk memenangi 49% undi kaum lelaki, terutama mereka yang berusia 45 tahun ke bawah," katanya.

Ketika merasmikan pameran berkenaan, Fatimah berkata Sarawak perlu memastikan pendidikan dan latihan yang liberal serta serba guna untuk memenuhi permintaan yang berubah-ubah pada abad ke-21.

Beliau menegaskan bahawa pengantarabangsaan pendidikan dan peluang latihan adalah relevan serta tepat pada masanya.

Katanya peluang pendidikan perlu menangani keperluan pasaran kerja tempatan sedia ada selain mereka yang berada di luar negara dan cabaran kerja masa depan.

"Pendidikan dan latihan kita juga mesti menangani keperluan untuk membangunkan kalangan kanak-kanak kemahiran generik antarabangsa yang berkaitan.

"Sebagai contoh pemikiran kritis dan penyelesaian masalah; kerjasama, ketangkasan dan keupayaan menyesuaikan diri, inisiatif dan keusahawanan, komunikasi lisan dan tulisan pelbagai bahasa yang berkesan, mengakses dan menganalisis maklumat serta sifat ingin tahu dan imaginasi kreatif, " katanya. - Bernama, 22 Mac, 2014.


Posted via Blogaway

Tiada ulasan: