Isnin, 24 Mac 2014

Pemuda UMNO sokong sekat pengacau ke Sarawak

MUKAH - Pemuda BN menyokong tindakan kerajaan Sarawak untuk menghalang 'pembuat kacau' terdiri daripada ekstremis agama dan kaum ke negeri ini kerana golongan itu boleh menjejaskan keharmonian kaum dan agama di negeri.
  
Ketua Pemuda BN Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata tindakan Sarawak adalah tepat kerana ia berlandaskan perlembagaan diperuntukkan kepada kerajaan negeri dan undang-undang sedia ada.
  
"Sarawak sudah lama harmoni, jangan ada pengaruh luar negatif mengganggu keamanan sedia ada," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang Karnival Fiesta Mesra Belia 1Malaysia di Dewan Tertutup Kementerian Pembangunan Sosial (KPS) hari ini.
  
Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem sebelum ini mengumumkan akan mengharamkan kemasukan golongan yang telah dikenal pasti sebagai ekstremis agama dan kaum ke Sarawak.
  
Beliau mempunyai senarai individu terbabit.

Mengenai kempen PRK Balingian, Khairy berkata setakat ini ia berjalan baik dengan pendekatan mesra golongan sasaran sebagai strategi menarik hati pengundi.
  
Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan memberi jaminan akan memberi perhatian serius dalam membina infrastruktur sukan dan rekreasi di Mukah.
  
"Saya tak nak umum apa-apa sebab yang penting komitmen kerajaan selepas pilihan raya, dan bagi permohonan peruntukan, saya sedia mempertimbangkan dengan serius dengan syarat mesti ditubuhkan persatuan supaya mudah menyalur peruntukan,'katanya.
  
Turut hadir ialah Menteri Kerja Raya Datuk Fadillah Yusof yang juga Ketua Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang juga Ketua Pemuda BN Sarawak dan calon BN bagi PRK Balingian Yussibnosh Balo.
  
PRK Balingian akan diadakan pada 29 Mac ini. - Bernama

Posted via Blogaway


Posted via Blogaway

Tiada ulasan: