Isnin, 10 Mac 2014

Pencarian lebih 60 jam MH370 temui kegagalan, kehilangan mengelirukan

Lebih 60 jam sejak pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 dilaporkan hilang, ia masih gagal ditemui dalam misi mencari dan menyelamat pesawat berkenaan.
MH370, dengan 12 kru dan 227 penumpang masih belum ditemui walaupun beberapa tompokan minyak ditemui di Laut China Selatan.
"Kehilangan pesawat MAS ini mengelirukan dan membingungkan," kata Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam, Datuk Azharuddin Abdul Rahman.
"Lebih 1,000 jam digunakan dalam misi mencari MH370 di Laut China Selatan dan Selat Melaka," katanya kepada pemberita dalam sidang media di KLIA hari ini.
Beliau berkata, terdapat banyak spekulasi terhadap apa yang berlaku kepada MH370 termasuk kaitan dengan aktiviti pengganas.
"Kita tidak menolak sebarang kemungkinan, tetapi sehingga MH370 ditemui, kita tidak akan menemui jawapannya," kata Azharuddin.
"Saya faham media mahukan jawapan, sama seperti saudara mara kru dan ahli keluarga."
"Namun pihak berkuasa masih tidak boleh memberikan sebarang jawapan sehingga pesawat ditemui dan siasatan dijalankan," katanya.
Azharuddin berkata, pencarian ditumpu kepada bahagian tertentu dengan pasukan mencari masih menjalankan tugas mereka.
"Pelbagai penemuan dilaporkan pelbagai media, namun tiada yang konkrit ditemui," katanya.
"Penemuan pintu pesawat oleh pihak berkuasa Vietnam yang dikatakan milik pesawat itu juga belum disahkan."
"Kami menghubungi pihak berkuasa Vietnam dan mereka menafikan sebarang penemuan oleh pasukan SAR mereka," kata Azharuddin.
Beliau berkata, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) turut menemui tompokan minyak di Laut China Selatan dan mengambil sampel minyak.
"Sampel dibawa ke makmal dan diharapkan ujian akan dapat dimaklumkan."
Azharuddin berkata, pakar penerbangan dan pesawat dari seluruh dunia juga turut menyampaikan pendapat mereka.
"Namun masih tiada yang konkrit untuk dipastikan sehingga lokasi MH370 ditemui," katanya.
Beliau berkata MAS dan DCA bertindak sewajarnya dalam menguruskan situasi berkenaan.
Berhubung dua penumpang yang menaiki MH370 menggunakan passport palsu, Azharuddin berkata tiada sebarang laporan daripada penyiasat.
"Kami tidak boleh mendedahkan video CCTV sehingga kami berbincang dengan pasukan penyiasat."
Beliau juga enggan mengulas lanjut berkenaan perkara itu termasuk soal prosedur keselamatan di KLIA. – 10 Mac, 2014. TMI

Tiada ulasan: