Rabu, 19 Mac 2014

Pengundi wanita menjadi tumpuan di Balingian

Mukah: Jumlah pengundi wanita lebih daripada pengundi lelaki di kawasan Dewan Undangan Negeri Balingian. Secara tepatnya, terdapat 6,725 pengundi wanita berbanding 6,651 lelaki.

Menyedari hakikat itu, Timbalan Ketua Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Datuk Fatimah Abdullah berkata parti itu akan berusaha “memikat” kaum hawa itu untuk mengundi calon Barisan Nasional (BN), Yussibnosh Balo, dalam pilihan raya kecil 29 Mac ini.

"Kami perlu berusaha keras. Kami tahu BN boleh menang dan akan menang tetapi kami mahu menang dengan penuh bergaya... dengan majoriti lebih tinggi.

"Kami mahu majoriti kira-kira 6,000 hingga 7,000 daripada 5,154 undi dimenangi Tan Sri Abdul Taib Mahmud pada pilihan raya negeri 2011," katanya dalam sidang media di Kampung Teh, Mukah hari ini.

"Kami akan menugaskan anggota kami untuk menjaga setiap daripada 21 pusat pengundian, dan menggesa pengundi untuk keluar beramai-ramai menunaikan tanggungjawab mereka pada hari mengundi 29 Mac, dan memenuhi keperluan pengangkutan mereka," katanya.

Fatimah, juga Menteri Kebajikan Wanita dan Pembangunan Keluarga negeri sebelum itu merasmikan acara 1AZAM, program untuk pembasmian kemiskinan di kawasan luar bandar.

Beliau berkata 1,799 pengundi wanita tinggal di kawasan di luar DUN itu.

Beliau juga berkata Wanita BN negeri akan membantu pergerakan Wanita parti-parti komponen BN negeri dan pusat.

"Kami telah mencapai persetujuan mengenai bagaimana untuk menggerakkan mereka sesuai dengan keperluan, keadaan dan corak demografi setempat.

"Sebagai contoh, Wanita Parti Rakyat Bersatu Sarawak akan fokus kepada pengundi Cina di kawasan sekitar bandar Mukah dan Balingian," katanya.

Dalam ucapannya pada majlis itu, Fatimah menggesa kalangan penduduk miskin yang memerlukan bantuan kerajaan untuk meningkatkan status ekonomi mereka agar berdaftar dengan sistem eKasih. – Bernama, 18 Mac, 2014.


Posted via Blogaway

Tiada ulasan: