Isnin, 17 Mac 2014

PRK Balingian: Komitmen lebih penting daripada manifesto - Muhyiddin

MUKAH: Barisan Nasional (BN) tidak perlu mengeluarkan manifesto khas untuk pilihan raya kecil Balingian kerana komitmen untuk menunaikan janji yang dibuat pada pilihan raya umum yang lalu lebih diutamakan, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.

Beliau berkata siapa pun yang dipilih BN untuk menjadi calonnya pada mana-mana pilihan raya, sedar akan tanggungjawab mereka bagi memudahkan parti gabungan ini dalam memenuhi janjinya kepada rakyat.  

"Saya tidak fikir manifesto itu penting tapi komitmen calon itu penting. Kerana ini bukan pilihan raya umum dan Sarawak adalah dipimpin oleh Barisan Nasional. Apa yang kita janjikan dahulu kita akan laksanakan," katanya kepada pemberita selepas tamat proses penamaan calon bagi pilihan raya kecil kawasan Dewan Undangan Negeri Balingian di Dewan Suarah Mesra Mukah di sini.

Calon BN Yussibnosh Balo, 47, akan berdepan dengan calon PKR Abdul Jalil Bujang dalam pertandingan satu lawan satu bagi kerusi Balingian yang dikosongkan penyandangnya Tan Sri Abdul Taib Mahmud kerana bersara sebagai ketua menteri Sarawak pada 28 Feb.

"Bagi kami bukan manifesto yang penting tapi komitmen...masih ada beberapa perkara yang hendak kita sempurnakan," kata Muhyiddin. - BERNAMA

Tiada ulasan: