Jumaat, 21 Mac 2014

SapuraKencana Petroleum Meterai Janji Niaga Pembiayaan Semula RM16.5 Bilion Dengan 13 Bank


KUALA LUMPUR - SapuraKencana Petroleum Bhd memeterai janji niaga pembiayaan semula RM16.5 bilion dengan 13 bank tempatan, serantau dan antarabangsa untuk menggantikan dan memperkemaskan kemudahan serta membiayai dua pembelian baru-baru ini.

Pembelian itu termasuk perniagaan pelantar sokongan Seadrill yang telah dinamakan sebagai SapuraKencana Drilling dan pembelian keseluruhan pegangan ekuiti dalam Newfield Malaysia Holding Inc.

SapuraKencana dalam satu kenyataan berkata program pembiayaan semula itu disediakan bagi menggantikan dan memperkemaskan kemudahan yang diperoleh susulan penggabungan SapuraCrest Petroleum dan Kencana Petroleum pada 2012.

Kira-kira 80 peratus atau RM13 bilion daripada pakej pembiayaan semula dikhususkan untuk aset yang dikontrakkan sepenuhnya kepada syarikat minyak antarabangsa dan nasional.

Janji niaga pembiayaan semula dengan 13 bank itu terdiri daripada kemudahan pelbagai mata wang senior dan kemudahan pusingan dengan tempoh jangka pendek dan jangka panjang sehingga tujuh tahun.

Faedah daripada institusi berian pinjaman amat menggalakkan dan mengatasi RM16.5 bilion yang diperlukan oleh Kumpulan.

Kira-kira 70 peratus daripada pinjaman adalah dalam dolar AS yang menyediakan lindung nilai semula jadi daripada jenis perniagaan yang Sapura Kencana terlibat.

Ini dapat dilakukan menerusi status Syarikat Pengurusan Perbendaharaan (TMC) yang diberikan kepada SapuraKencana oleh Bank Negara Malaysia yang menyediakan bagi insentif.

Insentif itu termasuk pengecualian daripada cukai pegangan bagi pembayaran/keuntungan faedah bagi pinjaman, pengecualian daripada duti setem bagi semua perjanjian pembiayaan serta fleksibiliti dalam Pentadbiran Pertukaran Asing (FEA).

Maybank Investment Bank dan CIMB Investment Bank merupakan bank penyelaras manakala Maybank Investment Bank bertindak sebagai ejen dan ejen keselamatan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SapuraKencana Tan Sri Shahril Shamsuddin berkata kira-kira 80 peratus daripada Pendapatan Sebelum Faedah, Cukai, Susut Nilai dan Pelunasan (EBITDA) diunjur Kumpulan bagi tempoh tiga tahun akan datang telahpun diperoleh daripada kontrak.

"Kami percaya keupayaan untuk mencatatkan pendapatan kukuh bagi Kumpulan merupakan penyumbang utama menarik minat bank-bank," kata Shahril dalam kenyataan itu.

"Selesainya program pembiayaan semula itu merupakan satu kejayaan penting strategik bagi Kumpulan selepas penggabungan pada 2012.

"Ia merupakan pengesahan terhadap kemapanan perniagaan kami sebagai syarikat huluan bersepadu penuh dan menunjukkan keyakinan dalam hala tuju dan prospek pertumbuhan perniagaan kami," katanya. - BERNAMA

Tiada ulasan: