Rabu, 19 Mac 2014

Setiausaha Politik perlu ubah cara bekerja


KUCHING: Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem mahu Setiausaha Politik Ketua Menteri mengubah cara bekerja kepada yang lebih proaktif dan sentiasa peka dengan perkembangan semasa yang berlaku.

Perkara itu dimaklumkan Ketua Setiausaha Politik Ketua Menteri Abdullah Saidol ketika ditemui selepas Majlis Angkat Sumpah dan Penyerahan Watikah Pelantikan Setiausaha Politik Ketua Menteri di Wisma Bapa Malaysia, di sini semalam.

Menurut Abdullah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop, ketika taklimat tertutup Ketua Menteri bersama semua Setiausaha Politik, Adenan turut meminta Setiausaha Politik mendalami sejarah politik Sarawak.
“Dalam taklimat tertutup tadi, Ketua Menteri mahu cara bekerja Setiausaha Politik berubah.

“Beliau mahu semuanya tahu sejarah politik Sarawak dan lebih aktif pada tahun-tahun akan datang terutama sepanjang beliau menjadi Ketua Menteri.

“Ketua Menteri juga mahu semua pentadbiran Setiausaha Politik dimantapkan lagi dan sentiasa peka dengan apa yang berlaku di sekeliling kami.

“Selain itu hendaklah sentiasa bekerja sama dengan semua wakil rakyat tanpa mengira parti komponen Barisan Nasional (BN) yang diwakili,” jelasnya.

Menurutnya peranan Setiausaha Politik kini lebih luas dan mencabar kerana mereka juga perlu bekerja sama dengan pemimpin-pemimpin masyarakat di kawasan masing-masing dan pada masa sama menjadi suara dan telinga kepada rakyat dalam keadaan wakil rakyat tidak mengetahui isu atau permasalahan rakyat.

Ketua Menteri tambahnya, tidak mahu Setiausaha Politik yang tidak aktif kerana ia bukan sahaja menjejaskan peluang mereka dilantik semula tetapi objektif pelantikan mereka tidak dicapai.

“Ketua Menteri juga menasihati semua Setiausaha Politik jangan bertindak tidak beretika yang boleh mengakibatkan nama baik wakil rakyat BN dan kerajaan terjejas,” tegasnya.

Abdullah berkata semua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri akan turun padang sepanjang tempoh berkempen Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Balingian bagi memastikan kemenangan akan berpihak kepada BN.

Selain itu mereka akan melakukan persiapan sebaik mungkin  bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri akan datang.

Pada majlis itu, 30 Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri mengangkat sumpah serta menerima watikah pelantikan masing-masing, 26 daripadanya dilantik semula manakala empat lagi pelantikan baharu iaitu Dayang Raoyah Abang Adeng, Jefferson Jamit Unyat, Romeo Christopher Tegong (Parti Pesaka Bumiputera Bersatu) dan Majang Renggi (Parti Rakyat Sarawak).

Sementara itu, Kenil Jaraiie antara Setiausaha Politik yang dilantik semula berkata amanat Ketua Menteri besar maknanya dan akan cuba dipenuhi demi kepentingan rakyat dan kerajaan.

Beliau yang satu-satunya Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri yang dilantik dari bahagian Mukah dan mewakili PBB berkata beliau akan berusaha memastikan keperluan serta isu rakyat khususnya di kawasan pedalaman seperti Dalat dan Mukah amnya dipanjangkan kepada kerajaan agar langkah sewajarnya dapat diambil.

“Pertama saya amat bersyukur kerana Ketua Menteri memberi kepercayaan kepada saya untuk terus memikul tanggungjawab ini dan akan berusaha memastikan amanat beliau dilaksanakan sebaik mungkin,” katanya.

Mengenai pembangunan di kawasan Mukah, lebih-lebih lagi Dalat dan Balingian, beliau berkata pembangunan infrastruktur telah berjalan dengan lancar dan percaya ia akan diteruskan bagi memastikan pembangunan sepenuhnya dapat dikecapi rakyat di situ.

Majang, 56, juga berkata beliau gembira dan berbangga kerana dipilih antara Setiausaha Politik yang baharu dan akan berusaha melakukan yang terbaik untuk rakyat dan kerajaan.


Beliau yang merupakan bekas Eksekutif Kanan Perolehan PETRONAS berasal dari Bintulu merupakan Naib Presiden PRS dan Pengerusi PRS Cawangan Kidurong - Borneo Post

Tiada ulasan: