Khamis, 20 Mac 2014

SPDP terima semula ahli keluar parti

Presiden SPDP, Tan Sri William Mawan Ikom
KUCHING: Kumpulan G5 terdiri daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Marudi, Datuk Sylvester Entri Muran, Datuk Peter Nansian Ngusie (Tasik Biru), Rosey Yunus (Bekenu) dan Paulus Palu Gumbang (Batu Danau) yang keluar dari Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) diterima semula dalam parti.
Presiden SPDP, Tan Sri William Mawan Ikom  (gambar) berkata, tindakan itu diputuskan demi untuk menguatkan lagi barisan kepimpinan SPDP sebagai antara parti komponen dalam Barisan Nasional (BN).
“Kita menerima semula empat daripada lima ahli SPDP yang sebelum ini keluar dari SPDP demi keutuhan parti serta nasihat dari Ketua Menteri (Adenan Satem).
“Harapan saya ialah semua pihak gembiran dan perpuashati dengan keputusan ini,” katanya sambil menambah, pemimpin tertinggi BN Sarawak dan Pusat telah dimaklumkan berhubung perkara itu.
Mengulas mengenai reaksi ahli parti lain, beliau tidak menjangkakan semua pihak bersetuju dengan sesuatu perkara atau isu yang boleh disifatkan kontrovesional.
“Saya tidak boleh pergi ke setiap cawangan parti dan bertanya apakah perasaan setiap ahli. Ini kerana, kita mempunyai majlis, ketua, dan korum yang diminta dan mencari pendekatan paling sesuai, arah tuju logik yang harus diambil oleh parti seiring dengan pembangunan parti.
“Kita harus bergerak ke hadapan, jika tidak, kita akan kehilangan kewajaran dan sokongan,” katanya pada Majlis Penyerahan Sijil Kemasukkan Semula Bekas Empat Ahlinya yang disaksikan oleh Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem.
Kata Mawan, sebagai sebuah parti politik dan mengamalkan prinsip demokrasi, jika semua ahli bersetuju, pemimpin ada tanggungjawab untuk membuat keputusan untuk bergerak ke hadapan.
“Jika langkah ini berjaya, semua pihak harus berterima kasih kepada ahli, tetapi jika ia tidak masuk akal pada masa depan, sila bertanggungjawab,” tegasnya.
Sehubungan itu, katanya, sebelum ini parti sering kali berbincang mengenai kebajikan dan pengurusan BN secara keseluruhannya kerana parti harus mengenal pasti kekuatannya serta sokongan rakyat dan seumpamanya.
“Dalam usaha untuk menangani semua ini, kita harus melihat semula kepada diri sendiri dan BN memerlukan penyatuan lanjut dan solidariti.
“Kita juga harus melihat komponen parti lain, yang mana timbulnya jurang yang perlu kita selesaikan untuk memastikan parti BN terus mentabdir negara,” jelasnya.
Menteri Pembangunan Sosial itu menambah, untuk menyelesaikan masalah, pemimpin perlu membuat keputusan melangkaui perasaan pribadinya.
“Jika kita bergerak sama ke arah yang betul dan SPDP menjadi parti yang kuat masa depan, semua ahli parti mesti berterima kasih kepada diri sendiri kerana membuat keputusan betul,” katanya.

Tiada ulasan: