Khamis, 13 Mac 2014

TPM umum calon BN Balingian 15 Mac Sabtu ini.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin akan mengumumkan nama calon BN bagi pilihan raya kecil DUN Balingian di Mukah, Sabtu ini.
   
Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem berkata Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) telahpun memutuskan calon yang sesuai, namun pengumuman akan hanya dibuat timbalan perdana menteri.
   
Beliau berkata mesyuarat Majlis Tertinggi PBB hari ini membincangkan perkara itu, dan mencapai keputusan berhubung calon berkenaan, seorang Kristian Melanau yang amat terkenal dalam kalangan penduduk setempat.
   
"Kami akan memberi penghormatan kepada timbalan perdana menteri untuk mengumumkan nama itu," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi PBB di ibu pejabat PBB di Kuching hari ini.
   
N51 Balingian, kawasan pilihan raya majoriti Melanau, diisytihar kosong berikutan peletakan jawatan penyandang dan bekas Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud pada 28 Februari lepas.

Khamis lepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan bahawa pilihan raya kecil itu akan diadakan pada 29 Mac manakala penamaan calon pada 17 Mac.
   
Muhyiddin dijangka tiba di Kuching pada Jumaat.
   
Sementara itu Adenan, yang juga Pengerusi BN Sarawak berkata keputusan untuk meletakkan seorang calon Kristian dibuat sebagai menghormati persetujuan yang dicapai sejak 1963.
   
Di bawah persetujuan bersama dalam kalangan kaum Melanau, sebuah daripada dua kerusi DUN iaitu Dalat dan Balingian, atau kawasan parlimen Mukah, perlu diwakili seorang Kristian Melanau.
   
Anggota Parlimen Mukah Datuk Seri Muhammad Leo Michael Toyad memeluk Islam beberapa tahun lepas manakala ADUN Dalat Datuk Fatimah Abdullah beragama Islam.
   
Mukah yang merupakan kubu BN selama 40 tahun, mempunyai 13,366 pengundi, dengan kira-kira 70 peratus daripada mereka adalah Melanau, 20 peratus Iban dan 10 peratus Cina.
   
Pada 2011, Taib memenangi kerusi DUN Balingian dalam pertandingan tiga penjuru, mengalahkan Suriati Abdullah daripada PKR dan calon Bebas Datuk Salleh Jafaruddin dengan majoriti 5,154 undi.
   
Sementara itu, BN Sarawak yakin calon yang akan dipilih mewakili BN dalam pilihan raya kecil DUN Balingian boleh menang dengan majoriti undi yang besar.
   
Setiausaha Agung PBB, Datuk Dr Stephen Rundi berkata, walaupun peluang mengekalkan kerusi berkenaan cerah tetapi BN tetap akan bekerja keras untuk memastikan calonnya menang dengan majoriti yang besar.
   
"Kita (PPB) akan kerah jentera pilihan raya yang terdiri daripada mengandungi pergerakan wanita, pemuda dan parti-parti komponen lain untuk memastikan kemenangan yang besar untuk calon kita," kata kepada pemberita selepas mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) PBB di ibu pejabat parti itu di Kuching hari ini.
   
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan pilihan raya DUN Balingian pada 29 Mac manakala penamaan calon pada 17 Mac selepas kerusi DUN itu dikosongkan bekas Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud pada 28 Februari.
   
Bagaimanapun, Rundi enggan mendedahkan nama bakal calon sambil berkata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassan diberi penghormatan untuk mengumumkannya pada satu perhimpunan yang akan diadakan di Dewan Suarah Mukah pada 15 Mac ini.

1 ulasan:

cannonkapit berkata...

PBB Mukah perlu bergerak dgn pantas.Jgn tunggu penamaan calon utk bertindak.Cuma jgn berkempen dan memasang bendera.Kalau setakat meninjau-ninjau tak salah.

Sokong siapa saja yg dipilih pucuk kepimpinan parti.Calon yg adil lagi nampak bersih akan jadi pilihan rakyat.

Selamat berkempen.Ayuh semua ahli PBB dan komponen2 BN yg lain turun padang dan pilih calon BN.