Ahad, 30 Mac 2014

Wan Junaidi: Larangan selaras perjanjian Malaysia

Kerajaan Sarawak tidak melanggar sebarang peruntukan undang-undang ketika menghalang tiga pemimpin PKR memasuki negeri itu, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
   
Sebaliknya, kata beliau, tindakan itu selaras dengan kuasa yang diperuntukkan kepada kerajaan negeri menerusi Perjanjian Malaysia 1963.
   
"Semua pihak sudah sedia maklum mengenai Perjanjian Malaysia 1963. Kerajaan negeri diberi hak mengurus hal ehwal imigresen sendiri dan seterusnya boleh menghalang mana-mana pihak yang dianggap boleh memecah-belah perpaduan dan seterusnya membawa ketidakstabilan dari masuk ke negeri ini," katanya.
   
Beliau yang ditemui pemberita selepas Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2013 Jabatan Penjara Malaysia (Zon Sarawak), di Padawan semalam, juga berkata hal itu termaktub dalam Perkara 6 perjanjian berkenaan.
   
Pada 25 Mac lalu tiga pemimpin PKR iaitu Setiausaha Agungnya Datuk Saifuddin Nasution Ismail; Pengarah Strategi Rafizi Ramli dan Anggota Parlimen Batu, Tian Chua dihalang masuk ke Sarawak.
   
Mengulas lanjut, Wan Junaidi meminta semua pihak menghormati Perjanjian Malaysia dan tidak membangkitkan lagi perkara itu.
   
"Kita semua perlu menghormati perjanjian tersebut, tidak menjadikan larangan terhadap pemimpin PKR itu satu kontroversi, tidak mempolitikkan soal undang-undang dan yang pasti hak-hak yang telah diperuntukan kepada Sarawak dihormati " katanya - Bernama


Posted via Blogaway

Tiada ulasan: