Isnin, 24 Mac 2014

Wanita Dayak digalak ceburi bidang perniagaan

KUCHING - Lebih banyak wanita Dayak digalak menceburi bidang perniagaan memandangkan jumlah mereka masih jauh lebih rendah berbanding pembabitan wanita daripada komuniti lain.
  
Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara Datuk Doris Sophia Brodie berkata, banyak wanita Dayak yang berminat menjalankan perniagaan namun kebanyakan mereka tidak mempunyai pengetahuan untuk memulakan perniagaan itu.
  
"Terdapat sedikit gendala bagi wanita Dayak memulakan perniagaan mereka. Sungguhpun kerajaan menyediakan pelbagai sokongan kewangan untuk membantu wanita Dayak namun penyertaan mereka masih kurang," katanya.
  
Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Persidangan Keusahawanan Wanita di Universiti Swinburne kampus Sarawak di sini hari ini.
  
Katanya separuh daripada penduduk Sarawak berjumlah 2.5 juta adalah Dayak dan separuh daripada populasi Dayak adalah wanita namun jumlah wanita Dayak dalam bidang perniagaan terlalu kecil.

Sehubungan itu, Doris berkata banyak yang perlu dilakukan, oleh kerajaan dan badan bukan kerajaan, untuk membantu wanita Dayak menceburi bidang perniagaan dan menjadi usahawan berjaya.
  
Beliau turut menggesa mereka yang telahpun berjaya dalam perniagaan untuk berkongsi pengalaman dan kisah kejayaan mereka dengan wanita Dayak lain.
  
"Kewangan semestinyalah satu daripada kekangan utama mendepani wanita Dayak kita namun masih ramai yang belum tahu cara untuk memohon dana yang disediakan kerajaan, misalnya pinjaman Mara dan Tekun," katanya.
  
Sementara itu Presiden Persatuan Siswazah Sarawak Dr Dusit Jaul berkata belum ada rekod yang memaparkan jumlah penyertaan wanita Dayak dalam bidang perniagaan.
  
Beliau menyarankan agar Dewan Perniagaan dan Perindustrian Dayak menjadi peneraju dalam mengadakan kajian berhubung perkara itu termasuk aspek lain melibatkan penyertaan wanita Dayak dalam perniagaan. - Bernama


Posted via Blogaway

Tiada ulasan: