Sabtu, 15 Mac 2014

Yussibnosh Balo diumum calon BN PRK Balingian

MUKAH:  Adalah disahkan, bekas Pegawai Daerah Dalat, Yussibnosh Balo, 47, diumumkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balingian, 29 Mac ini.

Nama Yussibnosh diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Timbalan Pengerusi BN Pusat di Dewan Suarah Mesra, di sini sebentar tadi.

Muhyiddin sebelum itu, yang turut diiringi Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem merangkap Pengerusi BN Sarawak: Setiausaha Agung BN Pusat, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Speaker DUN Sarawak, Datuk Amar Mohammad Asfia Awang Nassar mengikuti taklimat ringkas persiapan jentera pilihan raya BN negeri, juga di lokasi sama.

Turut kelihatan bekas Menteri Pelancongan, Datuk Seri Muhammad Leo Toyad sebagai Pengarah Pilihan Raya BN DUN Balingian atas kapasitinya sebagai Ahli Parlimen Mukah.

Berasal dari Kampung Tellian Tengah, Mukah, pemilihan Yussibnosh yang juga Ahli Jawatankuasa Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di ranting kampung kelahirannya dilihat memenuhi 'Konsensus 1963' yang menentukan hala tuju politik etnik Melanau di Parlimen Mukah, selain DUN Balingian dan DUN Dalat.

Malah, pemilihan beliau juga sekali gus menamatkan ketidakpuasan hati banyak pihak berikutan wujudnya cadangan nama-nama dari luar kerangka politik PBB Cawangan Balingian..

Pemilihan Yussibnosh sekaligus mengakhiri teka-teki mengenai calon pengganti bagi kerusi DUN Balingian sejak dikosongkan penyandangnya, Tan Sri Abdul Taib Mahmud, 28 Februari lalu berikutan keputusannya berundur dari arena politik dan pentadbiran kerajaan sebelum dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak Ke-7.

Tiada ulasan: