Selasa, 18 Mac 2014

Yussibnosh sangat arif tentang Balingian, kata Abdullah

KUCHING: Sebagai anak tempatan, calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Balingian Yussibnosh Balo mengetahui sentimen penduduk tempatan selain keperluan dan aspirasi penduduk kawasan itu berbanding orang luar.

Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sarawak, YB Abdullah Saidol berkata dengan kelebihan itu beliau yakin Yussibnosh akan mengekalkan kerusi kawasan itu untuk BN dalam pilihan raya kecil.

"Beliau anak tempatan dan bekas pegawai daerah dan dengan pengalaman pentadbiran beliau memahami apa yang berlaku di peringkat bawah berbanding orang lain terutama calon luar.. dari Bintulu (merujuk calon PKR Abdul Jalil Bujang)," kata Abdullah kepada pemberita selepas majlis mengangkat sumpah 30 setiausaha politik kepada ketua menteri di Wisma Bapa Malaysia di sini hari ini.

Pilihan raya kecil ini pada 29 Mac ini menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon BN dan PKR.

Beliau berkata sikap mesra dan mudah didekati Yussibnosh sangat disukai penduduk tempatan.

Abdullah berkata pengundi Balingian cukup bijak untuk mengetahui apa yang boleh ditawarkan BN dari segi pembangunan berbanding pembangkang.

Katanya memandangkan Balingian sebahagian daripada pusat pentadbiran Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) adalah lebih bijak bagi pengundi memastikan kawasan itu diwakili BN.

"Kerajaan telah merancang pelbagai aktiviti pembangunan dan ekonomi bagi kawasan ini dan ini akan memudahkan ia dilaksanakan jika kawasan ini diwakili BN," katanya.

Beliau berkata sebuah sekolah dan lapangan terbang baharu akan dibina di dalam kawasan ini dan ia sudah pasti memberi manfaat kepada penduduk tempatan.

Abdullah berkata jika Yussibnosh dipilih sebagai anggota Dewan Undangan negeri yang baharu, beliau sudah pasti akan memberi perhatian yang lebih bagi membangunkan kawasan luar bandar di Balingian.

"Kita juga telah menyampaikan perkara itu kepada kementerian berkaitan terutama kepada menteri di peringkat persekutuan berhubung permintaan agar kerajaan persekutuan menunaikan janji dalam manifesto kita semasa pilihan raya umum lepas," katanya. - BERNAMA


Posted via Blogaway

Tiada ulasan: