Isnin, 14 April 2014

Bangga, gembira diberi peluang jadi ahli SYC


SIBU: Abang Fairul Syarmil Abang Mohamad berbangga diberi peluang mewakili golongan belia di Sibu apabila dilantik menjadi ahli Majlis Belia Sibu (SYC) yang julung kalinya.

Abang Fairul, 26, melahirkan rasa gembira kerana dipilih antara ratusan calon yang memohon membarisi SYC yang baharu ditubuhkan.

“Saya bersedia menyahut cabaran membantu golongan belia di Sibu dalam memastikan suara belia dapat diterjemahkan dalam proses membuat keputusan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Angkat Sumpah Ahli-ahli SYC, di sini semalam.

Glyn Ho, 29, turut berbangga menjadi sebahagian ahli SYC di bawah Kementerian Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Masyarakati dan Majlis Perbandaran Sibu (MPS).

“Sebagai ahli SYC, saya akan sentiasa peka terhadap isu-isu persekitaran dan idea-idea kreatif dalam memberi sumbangan kepada pembangunan Sibu,” ujarnya.

Sebagai ahli SYC termuda, Patrick Ngelang, 23, berkata beliau menghargai peluang diberikan untuk memberi perkhidmatan kepada masyarakat di Sibu.

“Terima kasih kerana memberikan peluang kepada saya untuk menjadi ahli SYC.

“Saya akan memberi kerjasama kepada kaunselor dan kakitangan MPS,” katanya.

Majlis Angkat Sumpah Ahli-ahli SYC disaksikan oleh Menteri Kewangan Kedua merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Masyarakat Dato Sri Wong Soon Koh.


Hadir sama Pengerusi MPS Datuk Tiong Thai King, Timbalan Pengerusi MPS Datuk Wong Kee Yew, Setiausaha MPS Hii Chang Kee dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka Dr Annuar Rapa’ee. 

Tiada ulasan: