Sabtu, 12 April 2014

Bekas Timbalan Ketua Menteri Sarawak meninggal

SARATOK - Bekas timbalan ketua menteri Sarawak Datuk Amar Dunstan Endawie Enchana meninggal dunia di Hospital Saratok di sini awal pagi ini. Beliau berusia 78 tahun.

Endawie, yang menyandang jawatan itu dari 1977 hingga 1979 meninggalkan seorang isteri dan lima anak, empat lelaki seorang perempuan.

Menurut seorang anggota keluarganya, Endawie dihantar ke hospital itu semalam dan meninggal dunia pada pukul 4 pagi ini.

Mayatnya dibawa pulang ke kediamannya di Taman Indah, Saratok sejam kemudian.

Endawie akan disemadikan di Saratok Memorial Hill, Bukit Perabun, Saratok pada 17 April.

Bekas presiden Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) ini juga merupakan anggota Majlis Tertinggi Sarawak pertama (anggota Kabinet negeri). Beliau dilantik menganggotai majlis itu pada 22 Julai 1963, sejurus selepas Sarawak mencapai kemerdekaan daripada British pada hari sama.

Endawie kemudian menyandang jawatan Menteri Kerajaan Tempatan dalam Majlis Tertinggi Baharu, yang diketuai mendiang Tan Sri Stephen Kalong Ningkan sebagai Ketua Menteri Sarawak pertama.

Dalam pilihan raya negeri 1970, Endawie, yang bertanding di kawasan Krian atas tiket SNAP, mengalahkan Meling Jan daripada Pesaka dan Robinson Jelemin daripada Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP).

Beliau mengekalkan kerusi itu dalam pilihan raya negeri 1974 atas tiket SNAP, dengan mengalahkan calon Barisan Nsional Luke Tungku.

Endawie juga adalah orang Iban pertama yang dilantik sebagai Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Australia dan kemudian di New Zealand.

Tahun lepas, bersempena ulang tahun ke-50 kemerdekaan Sarawak, beliau adalah antara tujuh orang yang menjadi penerima anugerah Pengasas Perjuangan Kemerdekaan (PPK) kerana sumbangan besarnya kepada negeri ini dan penglibatan beliau dalam kemerdekaan Sarawak dan pembentukan Malaysia. - Bernama


Posted via Blogaway

Tiada ulasan: