Isnin, 21 April 2014

BN tunai janji bina lapangan terbang di Mukah

KUCHING: Pembinaan projek lapangan terbang baharu Mukah berharga RM133 juta membuktikan kerajaan Barisan Nasional (BN) hanya sekadar menabur janji untuk memenangi hati rakyat pada pilihan raya DUN Balingian, baru-baru ini.

Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Perhubungan, Datuk Seri Michael Manyin Jawong (gambar) berkata, kerja-kerja meratakan tapak projek telah dimulakan dan dijangka siap pada Disember 2015.

“Ini bukan janji kosong seperti pembangkang kerana BN menyedari projek lapangan terbang baharu Mukah akan memancu sistem perhubungan kawasan persisiran pantai dan Mukah amnya dalam kawasan Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui Sarawak (SCORE) pada masa depan,” katanya.

Manyin berkata, lapangan terbang baharu itu juga akan meningkatkan sistem perhubungan dalam kawasan Mukah, Tanjung Manis, Samalaju, Sibu, Bintulu, Kapit serta Baram.

“Lapangan terbang baharu yang bakal melestarikan sistem ekonomi SCORE ini adalah lapangan terbang dibawah kod C3 iaitu hanya memuatkan kapal terbang Twin Otter, ATR72,” tegasnya.

Bagaimanapun, katanya, lapangan terbang berkenaan akan dinaiktaraf dan diperbesarkan pada masa depan sekiranya perlu memandangkan pelan asalnya untuk lapangan terbang kod 4C iaitu untuk Boeing B737 atau Airbus A320.

“Kos projek secara keseluruhannya apabila siap dianggarkan bernilai RM600 juta, justeru, kita akan melaksanakan projek pembinaan lapangan terbang baharu itu secara berperingkat.

“Lapangan terbang baharu ini beroperasi sepenuhnya pada 2018,” ujarnya sambil memberitahu, setiap projek pembinaan projek berkenaan dilaksanakan melalui tender terbuka.

Beliau menegaskan, projek pembinaan lapangan terbang baharu tersebut sudah lama dirancang, sebelum Pilihan Raya Kecil (PRK) Balingian baru-baru ini.

“Projek ini bukan gimik politik, projek ini sudah dirancang pada tahun 2006 dan ia tiada kaitan dengan PRK Balingian,” tegasnya.


Posted via Blogaway

Tiada ulasan: