Isnin, 21 April 2014

Jangan beri ruang pada 'ekstremis' - Joseph Kurup


Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Joseph Kurup menggesa media atas talian agar tidak memberikan ruang untuk kenyataan bersifat ekstremis yang mengancam perpaduan daripada disiarkan sebagai berita.
Menurutnya, mereka yang mengeluarkan kenyataan sedemikian hanya mencari 'pengiktirafan' dan akan mengalah apabila orang ramai tidak memberi perhatian kepada mereka.
"Saya rasa lama-kelamaan mereka akan mengalah juga kalau kita tidak beri perhatian kepada mereka. Saya pun kalau boleh minta tolong kenyataan yang tidak membantu perpaduan tidak diberi ruang.
"Kenyataan itu mungkin juicy news (berita hangat) tetapi nanti perpaduan di antara satu kaum dengan satu kaum lain akan renggang kepercayaannya," katanya pada satu majlis bersama media dalam talian di ibu negara, pagi ini.
Menurut Joseph lagi, gesaan yang sama juga telah dibuat oleh perdana menteri dan beliau tergerak untuk mengulanginya kerana maklum akan peranan dan pengaruh media dalam talian.
"Saya tidak menafikan peranan yang dimainkan portal media, sangat berkuasa dan penting pula.
"Dan besar impaknya kepada pembaca khususnya kepada generasi sekarang kerana ia saluran media yang popular dan disukai ramai terutamanya golongan muda.
"Justeru tidak hairanlah media dan portal menjadi tarikan utama untuk penyaluran berita dan perkembangan berita dunia masa kini," katanya lagi.
Beliau kemudian meluangkan masa untuk makan tengah hari bersama wakil-wakil media dalam talian.
Di antara yang hadir adalah Ketua Pengarang Kumpulan Malaysiakini, Steven Gan, serta wakil dari Bernama, Sinar Harian Online, The Star Online serta RTM.

Tiada ulasan: