Rabu, 23 April 2014

Kapal Jepun disamun, kru diculik

PELABUHAN KLANG - Lima lelaki, dua bersenjatakan pistol seorang lagi parang, menyamun sebuah kapal Jepun dengan memindahkan dua juta liter minyak diesel ke dalam dua buah kapal tanker berhampiran Pulau Ketam awal pagi Selasa.

Tiga kru kapal dipercayai diculik.

Pegawai Pemerintah Polis Marin Pelabuhan Klang, Deputi Superintendan Norzaid Muhammad Said berkata kejadian berlaku pada pukul 1 pagi pada jarak 16 batu nautika dari Pulau Ketam di sini.

Kapal bermuatan lima juta liter itu dalam perjalanan ke Myanmar dan berlepas dari Singapura pada 21 April.

Beliau berkata lima lelaki terbabit bertindak mengikat 18 kru termasuk kapten kapal sebelum memindahkan diesel itu.

"Difahamkan proses pemindahan mengambil masa antara tujuh hingga lapan jam danselepas itu kesemua suspek meninggalkan kapal berkenaan," katanya ketika dihubungi di sini.

Norzaid berkata selepas berjaya melepaskan diri, kapten kapal kemudian menghubungi pembekal minyak diesel itu di Singapura, bagi memaklumkan kejadian berkenaan.

Katanya pembekal itu membuat laporan di Balai Polis di Johor Baharu sebelum pihak polis di situ memaklumkan kepada Polis Marin di Pelabuhan Klang.

"Pihak kami kemudian dihantar ke lokasi kejadian dan menemui kapal Jepun berkenaan di Pulau Angsa. Kapal itu dibawa pulang ke Pelabuhan Utara di sini untuk siasatan lanjut," katanya.

Norzaid berkata kesemua kru kapal dan kapten tidak mengalami sebarang kecederaan. - Bernama


Posted via Blogaway

Tiada ulasan: