Isnin, 21 April 2014

Kotak hitam MH370 adalah hak tanggungjawab kerajaan Malaysia

KUCHING: Kerajaan Malaysia masih mempunyai hak dan tanggungjawab terhadap kotak hitam milik pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 sekiranya ia ditemui di perairan Australia, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Haji Shukri.

Menurut Nancy, berdasarkan dari aspek perundangan penerbangan antarabangsa, kotak hitam berkenaan kekal di bawah bidang kuasa pentadbiran Malaysia.

“Ini kerana pesawat MH370 yang membawa 239 penumpang dan anak kapal itu didaftarkan di negara ini dan dimiliki oleh MAS.

“Soal agensi mana yang akan menggalas tanggungjawab, kita akan umumkan kemudian,” katanya.

Bagaimanapun, Nancy berkata, Malaysia sebagai negara pendaftaran pesawat MH370 dan negara yang bertanggungjawab di bawah Konvensyen Chicago, dianggap mempunyai bidang kuasa menjalankan siasatan kemalangan udara.

“Dan seterusnya menerajui siasatan kehilangan pesawat berkenaan,” ujarnya.

Kata Nancy, meskipun Malaysia meminta Australia menerajui usaha pencarian dan menyelamat  pesawat itu di selatan Lautan Hindi, tetapi ia tidak bermakna Malaysia telah menyerahkan kuasa mutlak untuk menyiasat punca nahas kepada Australia.

“Justeru, Malaysia masih mempunyai hak dan tanggungjawab terhadap kotak hitam ini jikalau ia ditemui.

“Dan sekiranya serpihan atau bangkai MH370 ini dapat dijumpai setelah dibawa arus atau ombak dan ia berada di wilayah perairan Australia Barat, pihak berkuasa penguatkuasaan undang-undang  perlu mematuhi undang-undang tempatan di negara berkenaan,” katanya

Ini bagi mendapatkan akses kepada serpihan dan barang lain milik pesawat MH370, jelasnya lagi.

Baru-baru ini, Malaysia sedang berbincang dengan pihak berkuasa yang berkaitan dan pakar mengenai siapakah sebenarnya yang berhak menjaga kotak hitam pesawat MH370.

Mengikut Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein,  Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail kini berada di United Kingdom untuk membincangkan perkara itu termasuk dengan agensi antarabangsa seperti Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO).

Penerbangan MH370 membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada jam 12.41 tengah malam 8 Mac lalu, hilang daripada skrin radar kira-kira sejam kemudian semasa terbang di atas Laut China Selatan. Ia sepatutnya mendarat di Beijing pada jam 6.30 pagi hari yang sama.


Posted via Blogaway

Tiada ulasan: