Isnin, 14 April 2014

Majlis Angkat Sumpah Majlis Belia Sibu semalam.


SIBU: Ahli-ahli Majlis Belia Sibu (SYC) tidak harus mengehadkan kebolehan mereka terhadap sesuatu bidang sahaja dalam memberi perkhidmatan kepada masyarakat.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Masyarakat Dato Sri Wong Soon Koh berkata mereka perlu sentiasa kreatif dan bersedia menghadapi cabaran dunia.

“Ahli-ahli SYC yang dipilih di kalangan pemimpin muda dan dinamik perlu melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan, idea-idea kreatif dan kemahiran terkini.

“Anda semua perlu menjadi seorang pemimpin muda fleksibel dan serba boleh dalam menjalankan tanggungjawab dan peranan,” katanya pada Majlis Angkat Sumpah Majlis Belia Sibu semalam.

Katanya ahli-ahli SYC juga perlu sentiasa melalui proses perubahan dengan diberi pendedahan terhadap pengalaman.

“Sebagai kumpulan perintis, anda semua perlu sentiasa bersedia menerima dan menghadapi cabaran,” ujarnya.

Menteri Kewangan Kedua itu turut berharap ahli-ahli SYC dapat saling bekerjasama dengan ahli-ahli Majlis Perbandaran Sibu (MPS) yang dipengerusikan oleh Datuk Tiong Thai King.

“Anda semua perlu memberi kerjasama kepada ahli-ahli majlis (kaunselor) dan kakitangan MPS dalam memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat,” tegasnya.

Hadir sama Pengerusi MPS Datuk Tiong Thai King, Timbalan Pengerusi MPS Datuk Andrew Wong, Setiausaha MPS Hii Chang Kee dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka Dr Annuar Rapa’ee.

Seramai 30 ahli SYC mengangkat sumpah iaitu Abang Fairul Syarmil Abang Mohamad, Abu Nazrie Abu Seman, Adrian Tang Chung Yiin, Allen Choong Chieng Hoon, Amelia Tiu Siew Yian, Annie Lee Wei, Ashley Tong Hui Hui, Awang Dasuki Awang Dol, Chris Chua Tong Po, Ellen Lu Ping Ping, Eric Yong Soon Serng, Frank Chhoa Giap Seng, Glyn Ho Wan Cjiing, Jeannie Ling, Joshua Jackson.

Kelvin Chew Pak Ching, Kent Loh Ing Kian, Lei Kuok Chiong, Lucas Lau Sieu Sing, Mohamad Hafizal Hamzah, Mohammad Hisham Khairul Nasir, Patrick Ngelang Pius Henry, Pau Kiew Ching, Rogels Wong Siue Wei, Sophia Tiong Hoe Yu, Tang Yew Hwang, Thomas Moh Shan Yau, Wee Teck Siang, Wee Wui Theng dan Zubir Bujang.


SYC pertama kali ditubuhkan di bawah Kementerian Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Masyarakat dan MPS yang dilaksanakan di bawah inisiatif ‘People First’ untuk mengiktiraf golongan belia di Sibu melibatkan diri secara langsung dalam membuat keputusan dan proses perancangan. 

Tiada ulasan: