Jumaat, 4 April 2014

Malaysia Bekerjasama Dengan Pihak Berkuasa Filipina Bagi Kesan Mangsa Penculikan - Najib

PERTH - Malaysia telah menghubungi pihak berkuasa Filipina dalam usaha membantu mengesan seorang pelancong wanita China dan seorang pekerja resort warga Filipina yang diculik oleh sekumpulan lelaki di Semporna, Sabah, Rabu malam.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan kejadian penculikan itu sebagai serius dan telah mengarahkan semua agensi penguatkuasaan yang relevan supaya melihat kes itu dengan serta-merta.

"Keutamaan kami adalah bagi memastikan keselamatan tebusan," kata Najib kepada wartawan Malaysia sejurus selepas sidang media bersama Perdana Menteri Australia, Tony Abbot berhubung misi pencarian pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 di selatan Lautan Hindi.

Ketua Pengarah Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) Datuk Mohammad Mentek Khamis berkata pelancong dan pekerja wanita resort itu diculik oleh sekumpulan lelaki di sebuah resort di Pulau Singgahmata, bersebelahan Pulau Bum-Bum di Semporna, Sabah, pada kira-kira 10.30 malam.

Najib tidak menolak kebarangkalian bahawa sesetengah pihak mahu mencemarkan hubungan antara Malaysia dan China berikutan penculikan tersebut adalah bertepatan dengan kehilangan pesawat MH370.

Perdana Menteri berkata semua usaha untuk mengesan mangsa penculikan itu akan berterusan dan mengenal pasti mereka yang terbabit dalam kejadian itu mungkin mengambil sedikit masa.

Sebanyak 153 daripada 227 penumpang pesawat Boeing 777-200ER itu yang hilang ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac lepas terdiri daripada rakyat China.

Najib tiba di sini semalam untuk rangka lawatan kerja dua hari ke Australia bagi meninjau lebih dekat misi pencarian MH370 yang sedang dilakukan di bandar raya barat Australia ini. - BERNAMA

Tiada ulasan: