Sabtu, 5 April 2014

PKR perlukan pemimpin, bukan primadona - Nik Nazmi

Parti Keadilan Rakyat (PKR) perlukan pemimpin profesional apabila bekerja dalam satu pasukan, bukannya bersikap seperti primadona terutama menjelang musim pemilihan parti bermula 25 April hingga 11 Mei depan.

Calon Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Nik Nazmi Nik Ahmad (gambar) berkata, walaupun perselisihan faham antara ahli dianggap perkara biasa dalam mana-mana parti atau organisasi tetapi perkara itu perlu dielakkan.

Beliau bimbang pemimpin akan hilang fokus dengan agenda utama parti iaitu untuk menjadikan negara ke arah yang lebih baik dan menjamin keadilan rakyat.

Sekaligus menyebabkan rakyat sendiri hilang kepercayaan terhadap pemimpin yang dipilih.

"Kita perlukan individu yang boleh bekerja dalam pasukan dan bukannya primadonna.

"Mereka tidak boleh mendakwa bekerja untuk orang ramai jika tidak boleh bekerjasama dengan parti sendiri," katanya dalam kenyataan hari ini sempena ulang tahun PKR ke-15.

Tegasnya, pemilihan tahun ini adalah peluang terbaik untuk menunjukkan kepada rakyat bahawa PKR boleh menjadi satu pasukan yang bersepadu, berdisiplin dan inklusif.

Katanya, kepemimpin PKR perlu berada di tahap lebih tinggi kerana sama ada suka atau tidak, rakyat merupakan tuan dan semua ahli politik perlu menerimanya atau ambil risiko untuk diundi keluar.

"Rakyat berhak mengharapkan sesuatu yang lebih baik daripada para pemimpinnya," katanya

Pemilihan PKR 2014 dijangka menyaksikan beberapa pertembungan bagi merebut kerusi panas, antaranya Timbalan Presiden PKR dan AMK selain jawatan presiden antara penyandang Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dengan suaminya yang juga Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kredibiliti PKR teruji apabila berlakunya pertelingkahan hebat pada pemilihan 2010 peringkat cabang hingga ke pusat  apabila berlakunya beberapa kekecohan  semasa proses pengundian termasuk insiden baling kerusi.

Keadaan itu menyebabkan Jawatankuasa Pemilihan PKR terpaksa membatalkan proses undian di beberapa cabang yang terlibat dalam insiden kekecohan.

Memburukkan keadaan, krisis antara bekas pemimpin PKR Datuk Zaid Ibrahim dan Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali merebut kerusi berkenaan juga menyebabkan Zaid mengambil keputusan berundur dan terus keluar parti atas alasan meluat dengan sikap pemimpin atasan.

Beliau kemudiannya menubuhkan parti baru iaitu Kesejahteraan Insan Tanah Air (Kita) yang bersifat bebas dan tidak berpihak kepada mana-mana blok pembangkang atau kerajaan, namun hanya sempat bertahan kira-kira dua bulan sahaja.

Sementara itu, Nik Nazmi yang juga Timbalan Speaker Selangor turut mengharapkan PKR bekerja keras mengukuhkan pengaruhnya di Sabah dan Sarawak terutamanya di kawasan luar bandar yang didominasi Barisan Nasional (BN).

Selain sistem demokrasi yang disalahgunakan, beliau berkata  PKR dan parti pembangkang lain juga perlu bijak menghadapi cabaran isu kaum dan agama yang sering dimanipulasi tanpa henti.

"Masih terdapat banyak cabaran dan kita akan tersilap sekiranya mengandaikan bahawa kita boleh menggoyangkan kaki begitu sahaja," katanya. – 4 April, 2014.


Posted via Blogaway

Tiada ulasan: