Jumaat, 11 April 2014

Rafidin ketua PKR Cabang Sibu


SIBU: Demi perpaduan dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR), seorang calon bagi jawatan ketua cabang Sibu, James Ansa telah menarik diri daripada bertanding merebut jawatan tersebut.

Penarikan diri James itu sekali gus memberi kemenangan tanpa bertanding kepada Abdul Rafidin Majidi untuk jawatan ketua PKR Cabang Sibu yang baharu bagi menggantikan Simon Tiong.

Menurut Rafidin, penarikan diri James daripada bertanding merebut jawatan itu adalah hasil perbincangan di kalangan ahli parti.

“Motif kami adalah untuk menjadikan parti ini lebih bersatu kerana kami tidak mahu berlaku perpecahan di kalangan ahli PKR,” ujarnya pada sidang media, semalam.

Hadir sama ialah Pengerusi PKR Cabang Lanang George Chen serta James.

Dengan penarikan itu menurut Rafidin, James akan dilantik sebagai Naib Ketua PKR Cabang Sibu bersama Mohd Ali.

“Ini menjadikan barisan kepimpinan PKR Sibu terdiri daripada pelbagai kaum,” katanya sambil menambah, jawatan Timbalan Ketua disandang Ngo Choon Chieng.

Ditanya mengenai hala tuju PKR Cabang Sibu selepas ini, Rafidin berkata pihaknya akan membuat persediaan awal bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Katanya, jentera parti perlu bermula dari sekarang termasuk berkempen di semua rumah panjang, kampung dan kawasan perumahan.

“Dengan sumber yang terhad, kami perlu melakukannya sendiri. Kami juga akan bekerjasama dengan semua cabang PKR di kawasan tengah,” jelas Rafidin.


PKR Cabang Sibu difahamkan mengintai kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nangka dan DUN Bawang Assan pada PRN akan datang. 

Tiada ulasan: