Jumaat, 4 April 2014

Salleh gesa kerajaan persekutuan pertimbang tambah royalti minyak


Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah Datuk Seri Dr Salleh Tun Said Keruak menggesa kerajaan persekutuan memberi pertimbangan serius terhadap permintaan golongan muda Sabah agar bayaran royalti minyak kepada Sabah disemak semula dengan segera.

Katanya semakan semula itu perlu dilakukan dan sesuatu yang amat tepat dengan masanya berdasarkan saranan yang disuarakan pelbagai pihak, termasuk para pemimpin Barisan Nasional (BN) di negeri ini agar kadar bayaran royalti minyak kepada Sabah dinaikkan.

Salleh, yang juga speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, berkata beliau percaya majoriti rakyat negeri ini akan menyokong langkah itu.

"Justeru, kerajaan persekutuan perlu menimbang perkara ini dengan serius untuk kebaikan rakyat dan negeri ini.

"Jangan ketepikannya (permintaan mereka)... majoriti akan bersetuju dengan mereka dan sekiranya mereka (kerajaan persekutuan) tidak dapat memenuhinya, mereka perlu beri penjelasan, termasuk opsyen yang boleh diberi kepada Sabah," katanya kepada pemberita selepas melancarkan pertandingan drift di sini hari ini.

Salleh berkata demikian apabila diminta mengulas saranan sayap pemuda Parti Bersatu Sabah (PBS), Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko) dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) semalam agar kerajaan menimbang menambah bayaran royalti minyak kepada Sabah dan Sarawak, daripada lima peratus kepada 20 peratus.

Pemuda PBS Datuk Jake Nointin, Arthur Sen (Upko) dan Arthur Kurup (PBRS) dipetik sebagai berkata mereka akan mengemukakan cadangan itu kepada kerajaan tidak lama lagi.

Mereka dilaporkan menyuarakan saranan itu berikutan kenyataan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem baru-baru ini yang meminta agar kadar bayaran royalti minyak kepada negeri ini dinaikkan kepada 20 peratus.

Salleh berkata beliau yakin kerajaan persekutuan di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan mencapai penyelesaian baik tentang perkara itu.

Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat supaya memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada Najib dengan berkata "beliau adalah orang terbaik untuk menangani isu royalti ini".

- BERNAMA

Tiada ulasan: