Jumaat, 25 April 2014

Sarawak mohon peruntukan lebih besar dari KKLW

KUCHING: Sarawak memerlukan bantuan peruntukan yang lebih besar untuk menampung permohonan peserta e-Kasih yang cenderung memilih bantuan membina dan membaik pulih rumah.

Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga, Datuk Hajah Fatimah Abdullah  (gambar) berkata, permohonan baik pulih dan membina rumah baru daripada golongan miskin, mencatatkan jumlah tertinggi dalam senarai peserta e-Kasih di Sarawak.

“Permohonan e-Kasih yang popular di Sarawak ialah bina dan baik pulih rumah. Seramai 3,145 orang memohon bantuan bina rumah baru dan 4,116 orang pula baik pulih rumah.

“Justeru, Sarawak memerlukan peruntukan lebih banyak untuk menampung jumlah permohonan peserta e-Kasih yang semakin meningkat diterima oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak,” katanya.

JKM telah meluluskan permohonan membina rumah baharu kepada seramai 590 orang dan 1,846 orang bantuan baik pulih rumah.

“Kesemua permohonan ini melibatkan kelulusan peruntukan daripada kerajaan melalui Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) berjumlah RM52,350,000,” jelasnya.

Dalam pada itu, seramai 100,387 Ketua Isi Rumah (KIR) berpendapatan rendah di negeri ini telah didaftarkan dalam pangkalan data e-Kasih sehingga 21 April tahun ini.

Berdasarkan pangkalan data berkenaan mendapati, kadar kemiskinan di kawasan bandar dan luar Bandar di Sarawak masih tinggi.

Menurutnya, golongan itu terdiri daripada empat kategori iaitu Miskin (M), Miskin Tegar (MT), Mudah Miskin (MM) dan mereka yang telah terkeluar daripada tiga kategori tersebut (TK).

“Berdasarkan jumlah keseluruhan itu, seramai 30,752 KIR didaftarkan dalam kategori M dan 28, 507 KIR dalam kategori MT serta 11,246 (MM) masih menerima bantuan daripada JKM Sarawak.

“Bagaimanapun, seramai 29,882 KIR di seluruh Sarawak berjaya keluar daripada senarai e-Kasih kerana pendapatan mereka sudah meningkat daripada garis kemiskinan,” katanya.


Posted via Blogaway

Tiada ulasan: