Rabu, 9 April 2014

Usaha mengenang pejuang komunis merupakan pengkhianatan, selar Idris

KUCHING:  Usaha untuk mengenang kembali pejuang komunisme merupakan suatu perbuatan khianat terhadap bangsa dan negara.
Ahli Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputra Bersatu (PBB), Datuk Idris Buang berkata beliau sedih kerana ada  ahli komponen Barisan Nasional (BN) yang  memang sejalan dengan DAP.
“Perbuatan ini tidak boleh disokong kerana ia umpama pengkhianatan kepada rakyat, negara dan bangsa kita,” tegas beliau yang memberi reaksi negatif mengenai cadangan Bendahari SUPP, Datuk David Teng.
Beliau juga berkata tindakan sedemikian seperti merendahkan maruah pejuang lalu, polis, tentera, Sarawak Rangers dan Border Scout yang telah berjasa membela negara daripada kekejaman komunis.
“Kita menentang komunis walau apa pun,
“Kita harus berterima kasih dan hanya memberi kredit kepada anggota-anggota keselamatan yang mempunyai hak untuk mendapatkannya,
“Tiada apa pun boleh yang mengembalikan nyawa anggota-anggota keselamatan kita dan juga rakyat biasa yang telah terkorban dibunuh komunis durjana itu.” tegas beliau.
David dalam satu kenyataan berkata kaum muda patut mencontohi pejuang anti-penjajahan dan anti-imperialisme yang terkorban.
“Pejuang anti-penjajahan dan anti-imperialisme merupakan satu gambaran kesetiaan yang mutlak, ketaatan dan kepercayaan kepada organisasi mereka,
“Generasi muda mesti mencontohi prinsip terbabit.” katanya selepas memberi penghormatan kepada orang mati di Tanah Perkuburan Hakka, Batu 5, Jalan Penrissen.
Ramai ahli keluarga mereka telah menderita kehilangan keluarga yang dibunuh oleh komunis, tegas Idris.
“Bagaimanakah perasaan ahli keluraga seperti keluarga mendiang Kanang Anak Langkau, mendiang Wilfre Gomez Malong, Allahyarham Supt. Johni Mustapha, Allahyarham Kpl. Ibrahim dan banyak lagi?
“Saya sendiri sebagai bekas anggota Border Scout dan Pegawai Polis terasa sangat dihina dan dipersendakan.” tambah beliau.

Tiada ulasan: