Ahad, 6 April 2014

YB Yussibnosh ikrar penuhi janji PRK

KUCHING - Anggota Dewan Undangan Negeri Balingian (Adun) yang baharu dilantik, Yussibnosh Balo, berikrar untuk memenuhi semua janji yang beliau katakan semasa pilihan raya kecil itu bulan lepas.

"Mula-mula saya akan kembali ke kawasan saya untuk berjumpa pengundi dan berterima kasih atas sokongan mereka," katanya kepada Bernama selepas majlis mengangkat sumpah sebagai Adun Balingian di hadapan Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar yang diadakan di Kompleks Dun di sini hari ini.

Yussibnosh berkata beliau akan menyusun semua permintaan pengundi semasa kempen pilihan raya itu dan mendahulukan yang paling penting.

"Keutamaan saya ialah pendidikan, infrastruktur dan komunikasi di kawasan itu," katanya.

Beliau berkata kemudahan pendidikan yang lebih baik merupakan perkara mustahak memandangkan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pendidikan Tan Sri Muhyiddin Yassin berjanji menyediakan peruntukan RM79 juta untuk membina Sekolah Menengah Kebangsaan Balingian dan membina Sekolah Kebangsaan Kampung Tellian di Mukah dalam kempennya.  

Dalam kempen itu, Menteri Kerja Raya Datuk Fadillah Yusof juga berkata lebih RM660 juta projek diluluskan di kawasan Parlimen Mukah dalam tempoh tiga tahun lepas, termasuk kerusi Dun Balingian dan Dalat.

Fadillah juga berkata RM216.68 juta dibelanjakan untuk projek jalan raya sepanjang 944.29km termasuk pembinaan jalan penghubung dan jambatan serta sebanyak RM122.43 juta dibelanjakan untuk menyediakan air bersih.

Bekalan air paip kini dapat dinikmati hampir 60,000 orang manakala 2,000 orang kini mempunyai akses kepada bekalan alternatif, katanya.

Projek lain yang sedang dijalankan termasuk RM60 juta untuk menyediakan bekalan elektrik kepada 285 komuniti, rumah panjang dan kampung-kampung; RM48 juta untuk dana pendidikan; RM35 juta untuk projek membasmi kemiskinan dan RM180 juta bagi bantuan pertanian. - Bernama


Posted via Blogaway

Tiada ulasan: